Skuad hoki wanita Terengganu tewaskan Sarawak 2-1
Pasukan hoki wanita Terengganu mengalahkan Sarawak 2-1 dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Hoki Sarawak, Petra Jaya, Kuching hari ini.
Terengganu, yang dibarisi pemain berpengalaman, memperoleh gol pertama menerusi Nurul Syafiqah Abdullah pada minit ke-18, sebelum Nurul Najah Farhani Abd Rashid menambah satu lagi jaringan melalui pukulan sudut penalti enam minit kemudian.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri dengan penuh bersemangat, Sarawak berjaya merapatkan kedudukan melalui satu serangan pantas apabila Suhaila Sata menjaringkan gol pada minit-minit akhir permainan separuh masa pertama.
Mengulas mengenai kemenangan itu, jurulatih Terengganu Musa Nordin memuji anak buahnya kerana mempamerkan semangat juang yang kental walaupun bermain dalam keadaan cuaca panas terik.
"Cuaca terlalu panas dan menjejaskan rentak permainan. Kami ke sini dengan misi untuk membawa pulang pingat emas," katanya kepada Bernama selepas perlawanan itu.
Sementara itu, jurulatih Sarawak C. Sivasubramaniam berkata disebabkan kurang pengalaman, anak buahnya gagal memperoleh gol walaupun mempunyai banyak peluang melakukan jaringan termasuk melalui pukulan sudut penalti.
"Kebanyakan pemain Sarawak muka baharu dan penyerangnya pula kurang berpengalaman. Untuk mendapatkan pengalaman, mereka perlu ke Kuala Lumpur atau bermain menentang pasukan lelaki.
"Hoki Sarawak kurang berkembang maju kerana pemainnya berasal dari kawasan pedalaman. Ini berbeza dengan pemain Terengganu yang terus menerus menjalani latihan serta berpengalaman luas," katanya.
Di samping itu, Sarawak hanya mempunyai tiga stadium hoki, kesemuanya di Kuching iaitu Stadium Hoki Jalan Padungan, Stadium Hoki SMK Paku di Bau dan Stadium Hoki Negeri di Petra Jaya.
Pada perlawanan berikutnya, Terengganu akan menentang Kedah, yang mengalahkan Pahang 4-1 awal pagi ini, manakala Sarawak akan berdepan Wilayah Persekutuan, yang menumpaskan Sabah 1-0 dalam aksi Kumpulan A.
-Bernama

