Selangor, Kelantan sama-sama ghairah
Hasrat juara bertahan, Selangor untuk meleburkan keghairahan kunjungan pasukan Kelantan Stadium Shah Alam tidak kesampaian apabila sekadar seri 3-3 pada saingan kumpulan B Piala Malaysia, sebentar tadi.
Tuan rumah dilihat turun dengan waspada, manakala Kelantan dilihat mahu lakukan kejutan selepas membelasah Terengganu 6-1 pada aksi Liga Super sebelum ini.
Namun, skuad The Red Giant membuktikan mereka sukar digugat lawan lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri dengan menguasai permainan.
Pada awal masa permainan, anak buah Zainal Abidin Hassan diasak bertubi-tubi jentera serangan Kelantan.
Malah pasukan pelawat sempat menguji penjaga gol Selangor, Norazlan Razali dengan beberapa percubaan awal.
Bagaimanapun jentera serangan Kelantan kurang tajam untuk penyudah sempurna, manakala Selangor jentera pertahanan sukar diperdaya dengan kehadiran pemain import baru, Ugochukwu Ukah.
Selangor juga tampil dengan dominasi serang-serangan balas pantas dan hantaran panjang dilihat berjaya mengambil peluang mengatasi lawan dengan gol-gol yang dihasilkan.
Minit ke-30 menjadi pemisah kedudukan pabila Mauro Olivi menjaringkan gol pertama Selangor dan bertambah selesa sembilan minit berselang melalui gol Patrick Ronaldinho.
Ketinggalan 0-2, skuad bimbingan Velizar Emilov Popov yang dilihat menyerlah dengan penguasaan di posisi tengah tetap memberi tentangan sengit.
Pemain import baru mereka, Wander Luiz berjaya merapatkan jurang kedudukan untuk gol pertama Kelantan di minit terakhir separuh masa pertama.
Sementara itu kembali dari bilik persalinan dengan kedudukan 2-1, Selangor dan Kelantan masing-masing tampil dengan aksi lebih seimbang.
Bagaimanapun, Ronaldinho berjaya menjaringkan gol ketiga tuan rumah seawal minit keempat separuh masa kedua untuk kedudukan 3-1.
Pilihan Popov tepat
Pasukan pelawat membuat pertukaran tepat apabila membawa masuk dua penyerang, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Abdul Manaf Mamat dengan misi memburu gol penyamaan.
Kemasukan Abdul Manaf menggantikan pemain pertahanan Muhammad Qayyum menyaksikan Popov juga membuat percaturan untuk menggempurkan benteng pertahanan Selangor habis-habisan.
Ditambah dengan ketiadaan Ukah yang dikeluarkan selepas mengalami kecederaan dilihat membuka ruang untuk Kelantan membolosi pertahanan Selangor.
Usaha Kelantan berhasil, Wan Zack tampil dengan sepakan lencong menarik menewaskan Norazlan dari posisi kanan gawang Selangor pada minit ke-73.
Abdul Manaf pula muncul meranapkan harapan tuan rumah untuk mengutip tiga mata penuh dengan jaringan penyamaan pada minit-minit akhir permainan.
Keputusan perlawanan lain:
T-Tem 0 - 2 Kedah
Felda United 0 -1 Terengganu

