Jika sebelum ini Jose Mourinho menggelar dirinya sebagai The Special One, kini pengurus baru Manchester United itu gelaran baru - The Generous One.

Gelaran itu timbul susulan tingkah laku jurulatih dari Portugal itu ketika dalam penerbangan bersama anak buahnya menuju China.

Mourinho memilih untuk menduduki kerusi kelas ekonomi bagi memastikan semua pemainnya dapat tidur dan berehat secukupnya di kelas bisnes.

Wayne Rooney dan rakan sepasukannya tiba di Shanghai, China semalam dengan menggunakan sebuah pesawat sewa khas memuatkan 100 penumpang dari Manchester ke negara tembok besar itu.

Dengan hanya 30 tempat tidur yang tersedia, Mourinho memilih untuk mengalah. Dia bersama kakitangan kejurulatihan rela ditempatkan di kelas ekonomi.

Sikap ditunjukkan bekas pengurus Chelsea itu dilihat sebagai murah hati sekali gus diberi julukan The Generous One, lapor The Independent.

United dijadual mengharungi dua perlawanan persahabatan di China, salah satunya menentang Borussia Dortmund di Shanghai esok.

Skuad The Red Devils kemudian akan menuju ke Beijing untuk satu lagi perlawanan persahabatan menentang Manchester City di Stadium Bird's Nest, Isnin depan.