Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berikut ialah beberapa corat-coret sepanjang temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 yang berlangsung di Kuching, Sarawak hari ini.

Tempat meletak kereta di sekitar Stadium Sarawak yang menjadi venue untuk upacara perasmian Sukan Malaysia ke-18 penuh sehingga memaksa petugas media yang membuat liputan untuk meletakkan kereta di tempat yang agak jauh.

Pihak polis dan Rela mula mengadakan kawalan trafik sejak 9 pagi menjelang upacara pembukaan rasmi pada sebelah malam.

Pertambahan jumlah kenderaan menjelang upacara pembukaan rasmi menyaksikan berlaku kesesakan berhampiran Pusat Akuatik Sarawak yang terletak bersebelahan Stadium Sarawak.

Selain itu, keputusan acara akhir untuk kebanyakan sukan lambat dikeluarkan oleh urus setia pertandingan di dalam laman sesawang rasmi Sukma ke-18 iaitu www.sukmasarawak2016.my

Keadaan tersebut memaksa petugas media mendapatkan sendiri keputusan terkini daripada pihak teknikal di venue pertandingan.

Keadaan tersebut dilaporkan berlarutan sejak hari pertama Sukma, Selasa lepas yang nyata menjejaskan aliran penghantaran berita yang pantas oleh petugas media kepada organisasi media masing-masing.

Kekurangan ruang bekerja termasuk meja dan kerusi disediakan di Pusat Media di aras bawah Pusat Akuatik Sarawak juga memaksa sebahagian besar petugas media menggunakan kemudahan disediakan secara begilir dan ada segelintir petugas media yang menghantar berita di venue pertandingan.

Lebih mengecewakan, tiada surat khabar yang disediakan oleh staf di Pusat Media untuk memudahkan petugas media membuat rujukan mengenai perjalanan temasya sukan dwitahunan tersebut.

Sementara itu sebanyak 19 komputer meja disediakan di Pusat Media namun ia banyak digunakan oleh jurugambar untuk menghantar gambar pada Sukma ke-18.

Penganjur juga tidak menyediakan air mineral di venue pertandingan untuk pihak media sehingga ada segelintir daripada mereka yang mengambil keputusan untuk membeli sendiri daripada kedai runcit di sekitar bandar raya Kuching.

-Bernama

Lihat Komen
ADS