Dua rekod kebangsaan diperbaharui

       

Selepas temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 dibuka secara rasminya semalam, kehangatan temasya sukan dwi tahunan itu semakin rancak dengan dua rekod kebangsaan berjaya diperbaharui.

Selain rekod kebangsaan, beberapa rekod baharu temasya juga turut dicatat pada hari keenam temasya berlangsung.

Rekod kebangsaan pertama diperbaharui ialah menerusi pemanah Terengganu, Nur Aqila Yusof dalam acara 70m recurve wanita individu.

Atlet berusia 18 tahun itu berjaya mengutip 331 mata untuk mengatasi rekod kebangsaan milik Mon Redee Sut Xi iaitu 328 mata, yang dilakukan pada Sukan SEA 2003 di Vietnam.

Sementara perenang negara, Lim Ching Hwang pula memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dalam acara 200 meter rampaian perseorangan.

Perenang yang mewakili Wilayah Persekutuan itu mencatat masa 2:04.77 saat, 0.12s lebih pantas daripada rekod 2:04.89s dicipta pada satu kejohanan renang jemputan di Amerika Syarikat.

Kontinjen tuan rumah kembali menerajui carta pungutan pingat dengan mengumpul 20 pingat emas, 12 perak dan 20 gangsa dan diikuti Selangor dengan 17 emas, 31 perak dan 25 gangsa.

Acara boling yang membuka gelanggangnya hari ini menyumbang pingat emas terbanyak melalui acara perseorangan lelaki dan wanita.

Paling menarik, atlet kontinjen itu memenangi dua emas dalam acara perseorangan wanita selepas pemain remaja kebangsaan, Nerosha Keligit dan Nur Syafiqah Sajeli masing-masing mengumpul 1,241 jatuhan pin.

Sementara juara bertahan, Wilayah Persekutuan yang menerajui carta pungutan pingat selama empat hari berturut-turut turun ke tangga ketiga dengan 14 emas, 18 perak dan 12 gangsa.

Pemburuan pingat diteruskan esok dengan sebanyak 45 pingat emas ditawarkan.

-Bernama
 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.