Khairul Hafiz padam rekod 200m Sukma

       

Raja Pecut Sukma, Khairul Hafiz Jantan membuktikan seleranya belum berkurangan apabila berjaya memecahkan rekod kejohanan acara 200 meter petang ini, kurang 24 jam selepas mencipta rekod kebangsaan 100m.

Catatan 21.14 saat di pusingan separuh akhir acara 200m di Stadium Sarawak itu mengatasi rekod 14 tahun milik bekas pelari pecut negara berasal dari Terengganu, Nazmizan Muhammad iaitu 21.33s yang dilakukan di Sukma 2002 di Sabah.

Persembahan cemerlang Khairul Hafiz itu pasti menjanjikan sesuatu yang menarik di final yang akan diadakan pada pukul 9.30 pagi esok.

"InsyaAllah...saya akan cuba buat yang lebih baik esok," katanya kepada pemberita.

Atlet berusia 18 tahun dari Melaka itu pernah mencatat masa 21.01s di separuh akhir Kejohanan Remaja Asia ke-17 di Ho Chi Minh, sebelum berpuas hati dengan 21.15s di perlumbaan akhir untuk membawa pulang pingat perak.

Ketika ini rekod kebangsaan 200m masih milik Tan Sri M. Jegathesan iaitu 20.92s yang dicatat di temasya Sukan Olimpik 1968 di Mexico.

Atlet muda itu kini menjadi sebutan selepas berjaya memecahkan rekod 100m 10.30s berusia 18 tahun milik Watson Nyambek dengan catatan baharu 10.18s, semalam.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Badrul Hisyam Abdul Manap turut layak ke final apabila menamatkan larian dalam masa 21.31s dalam saingan separuh akhir kedua, catatan yang turut mengatasi rekod Nazmizan.

Peserta tuan rumah, Jonathan Nyepa yang juga pemenang pingat perak acara 100m semalam, turut layak ke final dengan catatan 21.50s.

Turut menempah slot di final ialah Muhammad Solihin Jamali dari Wilayah Persekutuan, Mohd Ikmal Ismail (Perlis), Muhammad Aqil Yasmin (Selangor), Muhammad Haikal Hanafi (Negeri Sembilan) dan Tonga Jody Edmund (Sabah).

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.