Hanya dua mata ketinggalan di belakang pendahulu Liga Super JDT, Felda United nampaknya enggan menoleh ke belakang lagi.

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, anak buahnya akan terus mengejar skuad Harimau Selatan yang disifatkan sebagai pasukan handal.

“Kami akan terus mengejar pasukan JDT yang mana pasukan handal itu saya tahu mereka tumpu untuk perlawanan Liga Super.

"Bagi saya saya tak kisah apa saja piala, janji saya hadapi satu per satu perlawanan," katanya ketika diminta mengulas persiapan menentang pasukan Kelantan, malam esok.

Pada perlawanan ke-16 musim itu, skuad The Fighters bakal beraksi di depan ribuan penyokong Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Enggan mendabik dada, Irfan Bakti dilihat yakin anak buahnya tampil tanpa tekanan di gelanggang lawan.

"Kita bersiap sedia seperti biasa, kami bagi tumpuan untuk liga selepas menang dengan Melaka.

"Bagi saya tak ada tekanan kerana kita ada pemain-pemain senior dan pemain berpengalaman boleh beraksi di depan kapasiti penyokong (lawan)," jelasnya.

Bagaimanapun, dalam perlawanan 11 lawan 11 pemain katanya, mereka tetap berwaspada dengan taktikal ditonjolkan jurulatih Kelantan Velizar Emilov Popov.

"Kami harus berhati-hati dengan permainan dan taktikal yang ditonjolkan Popov, setiap pergerakan pemain Kelantan.

"Perlawanan 11 lawan 11, kita tak boleh perhatikan satu dua pemain sahaja tetapi keseluruhan pasukan Kelantan," kata jurulatih berusia 65 tahun itu.

Felda United kini berada di kedudukan kedua Liga Super dengan mengumpul 37 mata berbanding skuad Harimau Selatan dengan kutipan 39 mata.

Sepanjang musim ini mereka mengalami dua kekalahan, satu seri dan 12 kemenangan untuk selesa di kedudukan kedua mengatasi Selangor di tempat ketiga dengan 26 mata.

Sementara itu, JDT bakal berdepan skuad Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town selepas dikejutkan Perak dengan kekalahan 0-3 dalam saingan kumpulan C Piala Malaysia, Sabtu lalu.