Bayern Munich dilihat bersedia membuka pintu sekiranya bekas pemainnya Bastian Schweinsteiger mahu kembali selepas setahun meninggalkan Allianz Arena.

Musim lalu, Schweinsteiger meninggalkan Bayern untuk pindah ke Manchester United (MU) dengan menandatangani kontrak selama tiga tahun.

Bagaimanapun, berlaku kerencatan dalam perjalanan Schweinsteiger bersama MU susulan masalah kecederaan dan dia sekadar beraksi dalam 31 perlawanan.

Dalam persiapan MU berdepan musim baru, pengurusnya, Jose Mourinho dilihat tidak memberi jaminan mengenai masa depan pemain berusia 32 itu di Old Trafford.

Nama Schweinsteiger disebut berada senarai pemain yang akan dilepaskan oleh jurulatih kelahiran Portugal itu.

Dia juga dilaporkan sudah 'diusir' dan diminta untuk berlatih bersama pasukan simpanan.

Justeru, Schweinsteiger mempunyai ruang untuk meninggalkan MU dan lampu hijau seperti sudah dinyalakan oleh juara Bundesliga.

"Jika dia bercakap mengenai hasrat untuk kembali, kami akan membincangkan perkara itu," kata Presiden Bayern, Karl-Heinz Rummenigge seperti dilaporkan Sky Sport.

Sebelum berhijrah ke MU, Schweinsteiger sudah bersama Bayern selama 17 tahun sejak menyertai pasukan pelapis kelab itu pada 1998 dan berkhidmat untuk skuad utama pada 2002.

"Penting untuk mengikat pemain yang layak bersama kelab. Bastian ( Schweinsteiger) mengenali semua orang dan tahu segalanya, dia ditakdirkan untuk bekerja di sini," kata kapten Bayern, Philipp Lahm.