19 pemain Leicester City terima bonus BMW i8
Menjuarai Liga perdana Inggeris (EPL) musim lalu adalah hal mengejutkan bagi kelab Leicester City.
Sesudah itu giliran pemain skuad The Foxes pula dikejutkan oleh pemilik kelab dengan ganjaran sebuah kereta mewah.
Media di Eropah melaporkan pemilik kelab dari Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha menghadiahkan setiap seorang daripada mereka sebuah kereta model BMW i8.
Pemberian itu merupakan tanda penghargaan di atas kejayaan mereka musim lalu.
Vichai dilaporkan sudah menyerahkan 19 buah BMW i8 yang setiap daripadanya bernilai kira-kira RM551,007 sebagai sebahagian daripada bonus untuk pemain seperti termaktub dalam perjanjian mereka.
Bagaimanapun, empat daripada 23 keseluruhan pemain Leicester tidak diberikan ganjaran itu selepas masing-masing meninggalkan kelab pada awal jendela perpindahan musim panas ini.
Mereka terdiri daripada Joe Dodoo, Andrej Kramaric, Yohan Benalouane dan N’Golo Kante.
Sementara itu Pengurus The Foxes, Claudio Ranieri ketika ditanya mengenai ganjaran itu turut diterima, beliau berkata, perkata itu akan dibincang dengan pemilik kelab.
"Saya hanya fikirkan mengenai perlawanan, bukan kereta," katanya yang sedang mempersiapkan skuad untuk perlawanan Piala Perisai Komuniti berdepan Manchester United, malam esok.

