Status peletakan jawatan Presiden FAM, Tengku Abdulah Sultan Ahmad Shah dijangka akan diputuskan pada 15 Ogos ini pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM, kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Katanya, beliau akan memohon menghadap Tengku Abdullah sebelum mesyuarat dan status presiden FAM akan diputuskan.

Hamidin berkata, pertemuan antara Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan barisan exco FAM sebelum ini hanya satu perjumpaan biasa dan tiada sebarang perkara yang diputuskan.

"Mengenai kenyataan bahawa semua exco FAM akan mengikut jejak langkah Tengku Abdullah untuk meletak jawatan, pada pendapat saya kita ini negara demokrasi dan masing-masing ada hak.

"Kalau diikutkan, kesemua barisan exco ini masih boleh memegang jawatan mereka sehingga pemilihan baharu pada tahun 2018.

"Sama ada mereka mahu mengikut jejak langkah presiden itu saya tidak pasti kerana ia hak individu. Mungkin pada 15 Ogos ini mereka akan putuskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Royal Selangor Club (RSC) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini.

Media semalam melaporkan desas-desus rombakan dalam FAM akan disuarakan dalam mesyuarat exco pada 15 Ogos ini dengan kesemua barisan Exco bersedia melepaskan jawatan andai hasrat Tengku Abdullah diterima.

Tengku Abdullah sebelum ini memberitahu beliau tetap mahu melepaskan jawatan tertinggi FAM itu dan tidak mahu campur tangan dalam kemelut badan itu lagi.

Ikut perlembagaan 

Mengikut perlembagaan FAM kata Hamidin, mana-mana pemilihan yang ingin dilakukan dalam FAM perlu dibuat empat tahun sekali atau pun seperti dalam artikel 29 perlembagaan persatuan.

"Untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), satu per lima ahli gabungan boleh mengusulkannya atau pihak exco sendiri mahu pemilihan diadakan sama ada bagi jawatan presiden atau keseluruhannya. Jadi ia dibenarkan.

"Jika pemilihan awal mahu diadakan, perlu dinyatakan secara spesifik tentang apa yang mahu dibincangkan dalam EGM tersebut sama ada ia hanya pemilihan jawatan presiden atau keseluruhannya, dan tidak boleh dibincangkan hal-hal lain.

"Apa pun mesyuarat agung tahunan (AGM) FAM akan diadakan pada 15 September ini untuk kita membentangkan dan meluluskan laporan kewangan dan laporan tahunan sepanjang tahun 2015," jelasnya.

Sementara itu, mengulas formula yang dinyatakan Khairy sebelum ini, ia satu sesi perbincangan yang tidak boleh dianggap sebagai satu keputusan yang rasmi.

"Saya juga ingin menyatakan, dalam perlembagaan persatuan ketika ini, sesiapa yang memegang jawatan presiden FAM secara automatiknya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM dan juga Pengerusi Lembaga Pengarah FMLLP," ujarnya.

Kemelut kepimpinan FAM sebelum ini dikritik hebat oleh pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa memiliki 'pendrive' mengandungi bukti penyelewengan dan salah laku pegawai FAM.