Mampu JDT balas dendam berdepan Perak?
Tewas 0-3 kepada Perak pada saingan kumpulan C Piala Malaysia Sabtu lalu menjadi kekalahan pertama JDT sepanjang musim ini.
Dan malam ini, kedua-dua pasukan sekali lagi akan berentap sekali gus mengulangi pertemuan di Stadium Ipoh itu.
Entah magis apa yang dipakai pengendali The Bos Gaurus, Karl-Heinz Weigang dan apakah prestasi anak buahnya bakal berulang atau akan turut berada dalam kelompok momentum 'yo-yo'.
Ketika JDT selaku pasukan terkuat liga Malaysia dilihat begitu lengkap baik aspek kualiti pemain dan tata urus pasukan begitu cemerlang, hanya Perak yang mampu mengejutkan monopoli Harimau Selatan di atas padang.
Pemerhatian terhadap tiga jaringan yang dihasilkan Perak pada perlawanan lalu menyaksikan jentera pertahanan JDT agak longgar berbanding aksi mereka sebelum ini.
Jarang kita dapat lihat pemain pertahanan 'membiar' kebebasan pemain lawan, setiap pergerakan serangan selalunya cepat dihalang dan dipatahkan.
Namun sebaliknya berlaku ketika mereka berdepan Perak baru-baru ini, dua gol jaringan Fazrul Hazli Kadri berjaya dicipta susulan pemain JDT gagal penutup ruang.
Gol kedua Perak dicipta pemain tengah itu adalah 'rezeki terpijak', Fazrul bijak menggunakan peluang di sebalik kegagalan cubaan oleh rakan sepasukan.
Bola muntah jatuh di depannya dan rembatan dilakukan diluar dugaan pemain pertahanan JDT yang tidak mengawal ketat keberadaan Fazrul ketika itu.
Gol ketiga Perak juga menyaksikan bagaimana anak buah Weigang melakukan serangan balas dan keberadaan Fazrul di zon bahaya JDT juga tidak diambil perhatian pertahanan JDT.
Hantaran terus Kenny Pallraj berjaya memperdayakan benteng pertahanan pasukan pelawat.
Justeru, wajarlah jika ada kerisauan di kalangan penyokong Harimau Selatan selepas prestasi anak buah Mario Gomes tidak begitu cemerlang termasuk ketika seri 1-1 menentang Pulau Pinang, Rabu lalu.
Perak pula mula menunjukkan peningkatan prestasi mereka sejak lima perlawanan lalu.
Namun, Bos Gaurus tidak boleh terlalu selesa. Mereka menewaskan JDT dalam saingan Piala Malaysia yang tidak menjadi perhatian utama penyandang juara Liga Super itu.
Sebaliknya, Harimau Selatan sudah menyatakan mereka lebih fokus untuk mengekalkan piala Liga Super di bumi Johor.

