Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Tewas lagi, skuad Selangor ditegur MB
Diterbitkan:  Aug 7, 2016 4:09 AM
Dikemaskini: 8:22 PM

Prestasi buruk yang menghantui pasukan Selangor nampaknya begitu terkesan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin yang juga menteri besar Selangor tampil bersuara susulan kekalahan empat kali berturut-turut skuad The Red Giant.

Dalam kenyataan di Facebook malam tadi beliau berkata, setelah meneliti prestasi jurulatih, pemain dan pengurusan FAS tindakan tegas akan diambil segera.

"Setelah meneliti prestasi jurulatih, pemain dan pengurusan FAS serta mendengar maklum balas semua, tindakan tegas akan diambil segera.

"Saya telah mengarahkan Amirudin Shari dan Hisham untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan membuat rombakan segera," katanya.

Amirudin merupakan pengurus Selangor, manakala Hisham merujuk kepada penolongnya, Noor Hisham Mohd Ghouth.

Juara 33 kali Piala Malaysia itu tampil mengecewakan pada empat perlawanan terakhir mereka termasuk tewas 0-1 berdepan Kedah di Alor Setar dalam saingan Liga Super malam tadi.

Terdahulu skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu tewas 1-2 kepada Felda United (Liga Super), 0-1 bertemu Pahang (Piala Malaysia) dan juga tewas tipis 0-1 dicabar T-Team (Liga Super).

Mereka kini berada di kedudukan ketiga Liga Super dengan mengumpul 25 mata selepas mengharungi 17 perlawanan.

Kedudukan itu dicabar rapat oleh pasukan Kedah di kedudukan keempat dengan perbezaan satu mata.

Sementara itu dalam saingan kumpulan B Piala Malaysia 2016 pula, Selangor berada di tangga kedua dengan empat mata selepas tiga perlawanan.

Mengulas kekalahan bertemu Kedah, Zainal Abidin berkata, pemainnya gagal menunjukkan aksi sebenar disebabkan tekanan memuncak susulan deretan kekalahan lalu.

"Memang tidak dinafikan sebagai pemain bola sepak, apabila sampai keadaan begini mereka agak tertekan. Itu yang saya beritahu kepada pemain selagi mereka tertekan, mereka tidak akan bermain dengan normal.

"Jadi apa cara sekali pun, mereka perlu mencari kemenangan dengan segera supaya kita dapat kembali ke landasan yang baik," kata Zainal selepas perlawanan seperti dilaporkan web rasmi FAS.

Lihat Komen
ADS