Tidak seperti kebiasaan, Kelab Penyokong Bola Sepak Perak (KPBP) kali ini memilih untuk tidak berkunjung ke Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin bagi mengiringi skuad The Bos Gaurus berdepan JDT malam ini.

Susulan insiden kekecohan di Stadium Ipoh, Perak pada Sabtu lalu KPBP berkata mereka bimbang kejadian sama berulang pula di Larkin.

Justeru, malam ini penyokong Perak hanya berdoa dari jauh.

Presiden KPBP Abdul Jamil Othman berkata kebiasaannya mereka akan membuat rombongan setiap kali skuad Perak bertandang ke gelanggang lawan.

Namun katanya mereka mengambil pendekatan berbeza hari ini.

"Kali ini kami tak pergi. Satu bas pun tak pergi (sebab) takut benda itu (kekecohan) berulang lagi.

"Kita cuma doakan pasukan Perak berjaya bawa balik tiga mata penuh," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Malam ini Perak dan JDT sekali lagi bertemu bagi perlawanan kedua kumpulan C Piala Malaysia selepas mereka bertembung kali pertama 30 Julai lalu.


Video: Jurufoto cedera dakwa diserang penyokong... oleh kinitv

Dalam perlawanan itu Perak menumbangkan Harimau Selatan 3-0.

Pada 6 Ogos lalu pula kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi di Ipoh untuk saingan Liga Super.

Bagaimanapun pertemuan yang berakhir dengan JDT mengatasi Perak 1-0 itu melakar sejarah tersendiri apabila berlaku kekecohan antara penyokong, selain melibatkan kekarasan ke atas jurugambar.

Kedua-dua pihak kemudian saling membuat kenyataan menyalahkan pihak lawan sebagai punca kekalutan.

Abdul Jamil berkata, beliau kecewa dengan kekecohan pada Sabtu lalu dan berharap ia tidak berulang lagi.

Katanya menjadi kebiasaan bagi KPBP membuat rombongan - sekurang-kurangnya dua atau tiga buah bas - untuk memberi sokongan kepada skuad Perak.

"Sebelum ini pun kami ke Larkin dengan 12 buah bas," katanya.

Sementara itu beliau turut menasihati penyokong The Bos Gaurus yang tetap berkunjung ke Larkin atas kapasiti sendiri malam ini supaya menjaga diri dengan berhati-hati.

"Kepada penonton yang ke Larkin malam harap elakkan berlaku kejadian sama. Kejadian lepas biarlah lepas.

"Harap semua pihak menjaga diri dan tingkah laku masing-masing. Doa kami mengiringi mereka," katanya.