Usain Bolt kekal sebagai manusia terpantas di dunia.

Dalam saingan akhir larian 100 meter sebentar tadi pelari dari Jamaica itu memenangi pingat emas ketiga Olimpik di Rio de Janeiro.

Bolt mencatat masa 9.81 saat, namun secara bandingan ia adalah waktu paling perlahan dicatatkannya dalam tiga Olimpik disertainya bagi acara 100 meter.

Namun begitu ia mencukupi untuk meninggalkan pencabar terdekatnya, Justin Gatlin dari AS 0.08 saat di belakang.

Pingat gangsa dimenangi pelari dari Kanada, Andre De Grasse dengan catatan masa 9.91 saat.

"Saya berasa hebat," kata Bolt mengenai kemenangannya pada hari ini.

Dia akan berusia 30 tahun pada hari penutup temasya Olimpik kali ini.

Bolt menjadi atlet pertama memenangi acara larian 100 meter bagi tiga Olimpik berturut-turut, dan tidak terkalahkan dalam tujuh acara akhir temasya itu yang disertainya.

Selasa ini Bolt akan sekali lagi menjadi perhatian apabila menyertai pusingan saringan laraian 200 meter yang sering dikatakan sebagai acara paling digemarinya.

Jika berjaya merangkul emas dalam acara itu Bolt bakal menjadi atlet terulung lagi sebagai pelari "tiga triple" kerana memenangi pingat emas bagi tiga acara (100 meter, 200 meter dan 4x100 meter) dalam tiga temasya Olimpik

Setakat ini Bolt adalah satu-satunya atlet yang berjaya merangkul emas dalam ketiga-tiga acara berkenaan untuk dua Olimpik bertutur-turut.