FAM hari ini menafikan dakwaan menarik diri daripada menjadi tuan rumah Kongres Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2017 disebabkan kemelut dalaman yang melanda badan induk bola sepak negara.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah sebaliknya berkata keputusan itu dibuat selepas mereka akur dengan nasihat dan saranan kerajaan berkaitan isu keselamatan negara.

"Ia tiada kaitan dengan isu dalaman FAM.

"Kami merujuk kepada kenyataan timbalan perdana menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang ia berkaitan faktor keselamatan, jadi FAM dinasihatkan agar menarik diri daripada menjadi tuan rumah.

"Setelah terima nasihat dan saranan kita ambil keputusan untuk tarik diri," katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif FAM di Kelana Jaya.

Media sebelum ini melaporkan Fifa membatalkan hak FAM sebagai penganjur Kongres Fifa 2017.

Keputusan itu didakwa dibuat susulan ‎kegagalan FAM untuk memberi jaminan kepada semua delegasi dari setiap negara memperolehi visa masuk ke Malaysia.

Afandi berkata, FAM sebenarnya telah mengemukakan permohonan untuk menarik diri sebagai tuan rumah penganjuran kongres itu kepada FIFA pada 25 Julai lalu.

"Kita sudah bincang dengan presiden mengenai perkara ini kemudian Fifa sahkan keputusan itu. Kita hantar permohonan kepada Fifa menerusi surat rasmi bertarikh 25 Julai lalu," katanya.

Selepas itu menurut Afandi permohonan tersebut telah dipersetujui Fifa pada 9 Ogos.

"Kita memang nak maklumkan kepada media mengenai perkara ini pada hari ini tetapi tak sangka ia tersebar lebih awal," katanya.