FAM sekali lagi menerima tamparan hebat apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) membatalkan hak penganjuran Kongres Fifa yang dijadual berlangsung di negara ini tahun depan.

Keputusan itu dibuat susulan kegagalan badan induk bola sepak negara gagal memberi jaminan untuk semua deligasi dari setiap negara memperolehi visa masuk ke Malaysia.

Difahamkan, keputusan pembatalkan itu dibuat dan dimaklumkan FAM pada Selasa lalu.

Kongres Fifa 2017 itu dilihat penting apabila turut melibatkan pengundian Piala Dunia 2026.

FAM kini berdiam diri berhubung perkara itu dan dijangkan akan membuat pengumuman selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif, Isnin depan.

Malaysia mendapat hak sebagai tuan rumah kongres tersebut pada Disember 2013.

Antara alasan Fifa susulan pembatalan itu termasuk kesukaran yang mungkin dihadapi oleh delegasi negara tertentu seperti Israel.

Malaysia dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik dan rakyat tidak bebas untuk mengadakan perjalanan melibatkan kedua-dua negara.

Bagaimanapun, tahun lalu menyaksikan Malaysia menyambut wakil dari seluruh dunia pada penganjuran Kongres Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

Selain itu, pemerhati bola sepak turut beranggapan keputusan Fifa itu juga dipengaruhi isu yang melanda badan bola sepak negara sejak kebelakangan ini.

Antaranya lapor portal fourfourtwo.com dakwaan pembabitan rasuah melibatkan FAM oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sehingga memberi kesan kepada kemelut kepimpinan tertinggi.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi FAM untuk mengulas lanjut berhubung isu penarikan hak penganjuran kongres tersebut.