Rio 2016: Regu lelaki bangkit ke separuh akhir
Selepas aksi mendebarkan beregu lelaki badminton negara akhirnya berjaya melangkah ke separuh akhir Olimpik Rio selepas menewaskan pasangan Korea Selatan di Rio De Janeiro sebentar tadi.
Goh V Shem dan Tan Wee Kiong sempat mencemaskan penyokong Malaysia apabila tumbang 17-21 di set pertama kepada pasangan Lee Yong Dae dan Yoo Yeon Seong.
Bagaimanapun mereka bangkit memberi saingan pada set kedua dengan kemenangan 21-18 memaksa pemenang ditentukan di set penentuan.
Berdepan beregu nombor satu dunia itu, pasangan negara dilihat bersemangat memberi tekanan kepada pihak lawan.
Namun ia ternyata bukan laluan mudah walaupun V Shem dan Wee Kiong akhirnya mendahului mata dalam saingan set ketiga.
Pada suatu ketika pasangan Malaysia selesa berada tiga atau empat mata di depan sebelum pencabar mereka mengikat kedudukan di mata 20.
Namun ketika tekanan semakin mencengkam pemain Korea Selatan, pasangan Malaysia pula hanya memerlukan lawan mereka melakukan kesilapan untuk menganugerahkan kemenangan.
Detik itu akhirnya tiba apabila smash pemain negara gagal diangkat dengan baik oleh lawan, dan perlawanan terhenti di mata 21-19.
Untuk rekod keputusan itu menyaksikan V Shem dan Wee Kiong berjaya menumpaskan pasangan Korea Selatan itu selepas tewas dalam lima pertemuan lepas.
Mereka akan dicabar beregu dari China, Chai Biao dan Hong Wei di peringkat separuh akhir dijadualkan berlangsung esok.

