Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola mahu pasukannya memaparkan 'aksi cantik'  sehingga mengundang rasa kagum di kalangan penyokong.

Perancangan itu diutarakan Guardiola menjelang perlawanan berdepan Steaua Bucuresti pada aksi kelayakan pertama Liga Juara-juara, awal pagi nanti.

Walaupun berstatus pasukan pelawat, pemain Manchester City tetap mengharapkan keupayaan membolosi gol lawan dan mencatat kemenangan.

Menurut jurulatih kelahiran Sepanyol itu, dua perkara itu penting bagi melancarkan perjuangan mereka pada perlawanan kedua kelak.

"Sasaran pertama, kami mahu menyajikan bola sepak yang berkualiti kepada penyokong. Saya mahu mereka datang ke stadium dan mengatakan 'wow, saya suka permainan mereka'," katanya.

Jelasnya, bukan kerja mudah untuk mencuri gol di markas lawan, malah kelab dari Romania itu dilihat sering tampil sempurna di hadapan penyokong mereka.

Steaua Bucuresti sebelum ini berjaya mengatasi kunjungan kelab Sparta Praha 2-0 pada aksi kelayakan ketiga, 3 Ogos lalu.

"Saya sudah menyaksikan banyak kali permainan Steaua. Permainan mereka membuatkan saya terkesan," katanya.

Manchester City perlu menyingkirkan Steaua bagi meneruskan persembahan positif Guardiola di kancah Liga Juara-jura.

Sejak bekecimpung dalam bidang kejurulatihan, bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu tidak pernah tercicir dari saingan liga elit Eropah itu.