Rio 2016: Emas kedua menanti dituai Malaysia
Peluang pingat emas Malaysia dalam acara badminton Olimpik Rio semakin terbuka apabila regu lelaki negara berjaya menumpaskan pasangan China, sebentar tadi.
Dalam aksi separuh akhir di Rio de Janeiro Brazil itu gandingan Goh V Shem/Tan Wee Kiong berjaya menumpaskan Chai Biao dan Hong Wei 21-18, 12-21 dan 21-17.
Aksi 21 minit set pertama menyaksikan wakil Malaysia lebih banyak mengumpan dan mengasak di posisi depan gelanggang.
Dengan rentak permainan pantas, mereka cuba melemaskan daya pertahanan lawan untuk mengutip berharga menjayakan misi set pertama
Bagaimanapun, set kedua memihak kepada pasangan Chai Biao dan Hong Wei dengan kemenangan mudah 21-12.
Pasangan di ranking nombor lima dunia itu bangkit dengan serangan panjang dilihat memberi masalah kepada pasangan negara.
Keputusan 1-1 itu sekali gus membawa persaingan di set ketiga yang persembahan awal lebih berpihak kepada gandingan China.
Namun, V Shem dan Wee Kiong kembali menguasai gelanggang apabila berjaya memulihkan keadaan untuk saingan lebih seimbang dan memintas pungutan mata lawan.
Aksi penentuan selama 21 minit itu ternyata berpihak kepada regu negara dengan keputusan 21-17 untuk melangkah ke peringkat akhir.
Mereka akan dicabar sama ada satu lagi wakil China atau gandingan Britain yang turut beraksi dalam separuh akhir.
Perlawanan akhir untuk kategori beregu lelaki akan berlangsung pada 19 Ogos nanti.
Terdahulu acara badminton turut menyaksikan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mara ke final.

