Lin Dan tunggu Chong Wei di separuh akhir
Skuad badminton negara mara sekali lagi lebih hampir untuk meraih pingat Olimpik melalui jaguh perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei.
Pada aksi suku akhir di Rio De Janeiro, Brazil sebentar tadi Chong Wei berjaya mengetepikan cabaran pemain Taiwan Chou Tien Chen dengan kemenangan 21-9, 21-15.
Dalam saingan set pertama, Chong Wei tampil dengan tempo tenang dilihat lebih banyak menguasai taktikal.
Malah, hanya durasi 16 minit digunakan pemain kelahiran Pulau Pinang itu meraih kemenangan set pertama.
Sementara itu, aksi set kedua keadaan sedikit berbeza apabila Tien Chen bangkit memberi cabaran.
Lebih-lebih lagi apabila Chong Wei dilihat melakukan beberapa kesilapan mudah memberi peluang pihak lawan mengejar kedudukan mata.
Namun, Chong Wei kemudiannya dilihat enggan berlegah lagi apabila 'membuli' Tien Chen dengan pungutan mata ke penamat perlawanan.
Kemenangan dua set berturut-turut itu memperlihatkan pemain negara itu bijak menyimpan tenaga, sebaliknya lebih banyak memungut mata dengan serangan balas pantas memperdayakan lawan.
Hantaran dan smash silang mencorakkan persembahan mudah Chong Wei sekali gus mengelak saingan berbalas pukulan rali panjang.
Bagaimanapun menanti di separuh akhir pada 7.30 malam Jumaat ini ialah seteru tradisi Chong Wei, Lin Dan.
Atlet dari China itu melangkah ke separuh akhir selepas mengetepikan pencabar dari India, Kidambi Srikanth dalam perlawanan yang tidak kurang tinggi debarannya.
Lin Dan menjinakkan Srikanth 21-6 pada set pertama namun atlet berusia 23 tahun kelahiran Guntur, Andhra Pradesh itu bangkit menundukkan keegoan lawannya dengan 21-11.
Penentuan di set ketiga lebih mendebarkan. Pada suatu ketika Lin Dan kelihatan amat tertekan dan tertinggal mata sebelum pemain badminton ketiga dunia itu berjaya mengawal keadaan dan muncul sebagai pemenang dengan mata 21-18.
Untuk rekod Srikanth berada di ranking ke-11 dan kedudukan terbaik pernah dicapainya ialah ketiga pada Jun 2015.

