Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo terpilih sebagai Pemain Terbaik Eropah bagi musim 2015-2016.

Pengumuman pemenang itu dilakukan selepas undian saingan kumpulan Liga Juara-juara di Monacco, semalam.

Kali ini Ronaldo bersaing dengan rakan sepasukannya, Gareth Bale dan Antoine Griezmann dari Atletico Madrid.

Ronaldo berjaya membawa pulang trofi selepas mendapat undian tertinggi dalam undian yang dilakukan oleh 55 wartawan sukan Eropah.

Pencalonan pemain terbaik Eropah itu dipilih berdasarkan pencapaian bersama kelab dan skuad kebangsaan sekali gus berpihak kepada pemain Portugal itu.

Dengan catatan 16 gol dan empat assist di pentas Eropah, Ronaldo berjaya menghantar madrid sebagai juara Liga Juara-juara musim lalu.

Selain itu, dia juga membantu Portugal meraih gelaran juara Euro 2016 buat kali pertama dalam sejarah negara itu.

"Pastinya saya sangat gembira.

"Namun pada saya dua calon lain juga layak menerima penghargaan ini. Mereka sudah tampil luar biasa," katanya sejurus menerima trofi tersebut.

Untuk rekod anugerah itu kali kedua capai pemain berusia 31 tahun itu dan gelaran pertama diraihnya pada musim 2013-2014.