Mustafi ke Arsenal bawa pengalaman luas
Arsenal nampaknya bertuah dengan kejayaan mereka membawa Shkodran Mustafi ke Emirates.
Pemain 24 tahun itu sudah menempuhi pelbagai cabaran di posisi pertahanan dalam kejohanan besar Eropah.
Sebelum 'mendarat' di Stadium Emirates, Mustafi pernah menyarung jersi Everton, Sampdoria dan terakhir sebelum menyertai Arsenal, dia bermain untuk Valencia.
Namun, kurang pengalaman bersama kelab besar menjadikan peminat The Gunners belum dapat mengenal pasti kemampuan sebenar pemain kelahiran Jerman itu.
Dalam temubual pertama sebaik disahkan sebagai anak didik Arsane Wenger, Mustafi menjelaskan kemampuan dan kelebihan dimilikinya.
"Saya sudah beraksi di beberapa negara. Walalupun baru 24 tahun, tetapi sudah bermain di Itali, Jerman dan England," katanya.
Shkodran's got skills!
— Arsenal FC (@Arsenal) August 31, 2016
Check them out right here ? https://t.co/HL93QS2rFU#GunnerShkodran pic.twitter.com/e8mjWVLejp
Pengalaman tampil di berbagai negara itu memberi pendedahan dan ilmu berbeza yang Mustafi syukuri.
"Sekarang saya dapat katakan bahawa saya adalah pemain yang cukup agresif. Saya mengejar bola ke setiap posisi, seperti saya pelajari di England," tambahnya.
"Di sisi lain saya juga cukup bertaktikal. Saya cuba membaca permainan seperti yang dilakukan di Itali," katanya lagi.
Selain itu, Mustafi juga mengakui dia bukan pemain yang terburu-buru menghantar bola kepada rakan-rakan sebaliknya dia akan mengendali permainan dengan tenang sebelum bertindak.
Kehadirannya ke Arsenal itu menjadikan empat pemain Jerman berada dalam skuad itu termasuk Per Mertesacker, Mesut Ozil dan Serge Gnabry.
Malah, Mustafi, Mertesacker dan Ozil adalah watak penting dalam memperkuatkan Jerman pada Piala Dunia 2014.
Untuk rekod, Valencia melepaskan Mustafi ke Arsenal dengan yuran perpindahan berjumlah £35 juta (RM186 juta).
Sementara itu, terdahulu Arsenal secara rasmi turut mengikat kontrak seorang lagi pemain iaitu Lucas Perez dari Deportivo La Coruna.
Penyerang berusia 27 tahun asal Sepanyol itu dibawa ke Emirates dengan yuran perpindahan bernilai £17 juta (RM90.6 juta).
Tidak kurang hebatnya, Perez sebelum ini pernah menyarung jersi beberapa kelab seperti Rayo Vallecano, Karpaty Lyiv dan Dynamo Kyiv sebelum kembali ke Sepanyol menyertai Deportivo.

