Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee enggan ambil serius dakwaan beliau tidak akan kekal membimbing skuad bola sepak kebangsaan pada tahun depan.

Apa yang penting sekarang katanya, adalah memberi tumpuan persediaan skuad kebangsaan untuk menghadapi Kejohanan Piala AFF 2016 yang bermula dari 19 November hingga 17 Disember ini.

"Saya ada tugas. Saya tidak perlu fikir siapa presiden... jika presiden mahu saya kekal, saya akan kekal. Jika mereka tak mahu (khidmat) saya, saya akan pergi. Mudah.

"Bagi saya apa yang penting adalah fokus pada Piala Suzuki. Itu lebih penting berbanding isu lain," katanya kepada media ketika ditemui selepas sidang media perlawanan amal Hari Malaysia 2016 antara Harimau Malaysia dan Dugong All-Stars di Wisma FAM di Kelana Jaya, hari ini.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers mendedahkan beliau mengetahui jawatan Kim Swee dan Jurulatih Skuad Projek Sukan SEA 2017, Frank Bernhardt tidak akan dikekalkan pada tahun depan.

Malah Tunku Ismail mendakwa beliau mengetahui siapa yang akan menggantikan Kim Swee begitu juga calon presiden baharu FAM.

Bagaimanapun kenyataan ringkas itu sudah dipadamkan dari laman Facebook rasmi pasukan JDT itu.

Sementara itu, bagi Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, kedudukan Kim Swee dan Bernhardt akan ditentukan oleh barisan kepimpinan baharu FAM nanti.

"Saya tak pasti. Itu mungkin pandangan Tunku Ismail sendiri. Saya tak pasti apa maksud beliau. Seperti saya katakan pemilihan akan diadakan secepat mungkin pada tahun depan.

"Itu (kedudukan) setakat ini terpulang kepada barisan yang baharu akan datang untuk tentukan," katanya.

Pada 15 Ogos lalu, FAM memutuskan untuk mempercepatkan Kongres Pemilihan Jawatankuasa FAM yang sepatutnya dijadualkan pada 2018 kepada tahun depan selepas menolak hasrat Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahu meletakkan jawatan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, badan induk bola sepak negara itu bersetuju mempercepatkan kongres pemilihan itu bagi menghormati keputusan Tengku Abdullah yang mahu melepaskan jawatannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS