Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Serah pemacu pena bukan campur tangan kerajaan

Tindakan menyerahkan pemacu pena (pendrive) yang katakan mengandungi bukti penyelewengan dalam FAM kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh dianggap sebagai campur tangan kerajaan dalam badan induk bola sepak itu.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata mana-mana persatuan di negara ini perlu mematuhi undang-undang sedia ada dan apabila wujud tuduhan berlaku salah laku, ia perlu disiasat oleh pihak berkuasa.

"Apabila terdapat tanggapan dan andaian bahawa wujudnya rasuah yang menjadi jenayah di negara ini, ia tidak boleh diselesaikan oleh ahli gabungan (FAM)... ia tidak boleh dianggap sebagai campur tangan kerana ia andaian berkaitan rasuah, yang melibatkan persepsi awam.

"Untuk membolehkan kami mengesahkan tiada bukti rasuah dalam persatuan itu, maka saya perlu serah kepada SPRM. Campur tangan kerajaan maksudnya campur tangan dalam pemilihan FAM, polisi, pengurusan dan sebagainya," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penajaan antara Milo dan Sekretariat Sukan SEA ke-29 dan Para Asean ke-9 (MASOC) di Putrajaya, hari ini.

Khairy berkata demikian kepada pemberita apabila diminta menggulas kenyataan bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Peter Velappan kepada Astro Arena, yang memintanya berhati-hati dalam menangani isu itu kerana ia boleh dianggap sebagai campur tangan kerajaan.

Beliau menyerahkan pemacu pena tersebut yang didakwa mempunyai laporan sebanyak 279 halaman kepada SPRM pada Jumaat lalu, selepas menerimanya daripada Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 26 Ogos lepas.

Dalam perkembangan terkini, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki dalam kenyataan hari ini mengesahkan bahawa kandungan pemacu pena tersebut tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009.

- Bernama

Lihat Komen
ADS