Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
'Pendrive' TMJ: FAM harap kenyataan SPRM leraikan kekusutan

Selepas disahkan bersih oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berharap isu pemacu pena dianggap selesai.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata penjelasan SPRM hari ini yang mengesahkan tiada unsur rasuah berhubung kandungan pemacu pena itu, dapat meleraikan segala kekusutan yang ada selama ini.

"FAM sentiasa bersedia bekerjasama dalam apa juga isu dengan mana-mana pihak termasuk SPRM demi kebaikan bola sepak Malaysia," kata Hamidin dalam kenyataan media semalam.

Beliau berkata FAM juga prihatin mengenai saranan SPRM bagi proses penambahbaikan khususnya berhubung isu-isu teknikal yang telah dibangkitkan.

Katanya, FAM akan meneliti segala dokumen berkenaan selepas menerima laporan lengkap mengenai siasatan daripada SPRM sebelum melakukan sebarang tindakan lanjut.

Terdahulu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan tiada sebarang unsur rasuah yang terkandung dalam pemacu pena yang diserahkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada Jumaat lepas.

Azam dalam kenyataan media hari ini berkata SPRM telah melakukan penelitian terhadap isi kandungan pemacu pena tersebut dan mendapati ia tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009.

Khairy menyerahkan pemacu yang didakwa mempunyai laporan sebanyak 279 halaman selepas menerimanya daripada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 26 Ogos lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS