Kelebihan mengetahui rentak pemain negara mahu dijadikan kelebihan oleh Andik Vermansyah untuk membantu Indonesia ketika menentang Malaysia dalam aksi bola sepak persahabatan antarabangsa di Solo, malam ini.

Menurutnya, kelebihan itu akan dikongsi bersama rakan sepasukan bagi memastikan kemenangan untuk skuad Garuda di laman sendiri.

"Sudah pasti saya akan memberi maklumat kepada rakan sepasukan mengenai pemain lawan yang harus diberi perhatian dan kekuatan pasukan Malaysia berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya semasa di Selangor," katanya kepada Bernama di Solo, Indonesia, semalam.

Andik juga yakin Indonesia adalah sebuah pasukan yang lebih mantap berbanding Malaysia kerana skuad negara itu mempunyai semangat berpasukan yang lebih tinggi.

Namun, Andik yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia bersama Selangor, mengakui beliau pasti berdepan tugas berat kerana ramai pemain Malaysia yang sudah masak dengan rentak permainannya.

"Saya adalah pemain profesional dan akan memberikan yang terbaik untuk pasukan yang saya wakili," kata pemain sayap lincah berasal dari Jember itu.

Andik yang telah bersama Selangor sejak 2014 diberi pelepasan oleh pasukan itu untuk menyertai skuad kebangsaan negaranya.

Pemain itu berkata walaupun posisinya masih sama, beliau akan mengubah rentak supaya pergerakannya tidak mudah dibaca pemain Malaysia.

"Saya akan membuat persembahan yang berbeza dan terpaksa mengubah rentak bagi memastikan rakan saya dari Malaysia tidak dapat membaca pergerakan saya," katanya.

Ini adalah perlawanan antarabangsa pertama bagi Indonesia setelah Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) digantung setahun oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ekoran campur tangan kerajaaan dalam badan induk sukan negara itu.

Indonesia memilih Malaysia sebagai pembuka aksi antarabangsa pertamanya di Stadium Manahan di sini sebagai persiapan menghadapi Piala AFF, November depan.

-Bernama