Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
'Swastakan Selangor FC, buang parasit dalam FAS'
Diterbitkan:  Sep 6, 2016 1:36 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

Penyokong Selangor mahu pergolakan dalaman yang dilaporkan dihadapi Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ditangani segera oleh presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Presiden Anak Selangor Fans Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata dua tindakan segera perlu diambil Azmin iaitu menyingkirkan 'parasit' dalam FAS dan menswastakan Selangor FC.

"Sebagai penyokong saya mahukan perubahan, perbaiki sistem persatuan dan swastakan Selangor FC.

"Jadi kami minta presiden FAS membuat keputusaan yang wajar untuk kebaikan pasukan Selangor," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Sebelum ini Azmin yang juga menteri besar Selangor mengumumkan rombakan melibatkan persatuan itu bakal dilakukan dalam masa terdekat dan dilakukan berdasarkan merit.

Terdahulu skuad Selangor menerima tamparan apabila ketua jurualatihnya Zainal Abidin Hassan dipecat susulan prestasi merudum anak buahnya di arena liga Malaysia.

Susulan pemecatan Zainal, FAS menerima pengunduran dua setiausaha agung dan bendaharinya yang terlebih dahulu memberi tawaran untuk meletak jawatan.

Sementara itu, timbul khabar angin yang mencadangkan FAS diterajui Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mohd Faizal berkata, ASFC menyokong penuh sekiranya niat tersebut lahir dari Tengku Amir Shah sendiri.

Jelasnya, sesiapa sahaja yang menjadi presiden baharu FAS kelak diharap dapat menswastakan pasukan dengan segera dan menjadikan kemajuan yang dicapai oleh JDT sebagai contoh terbaik pada masa kini.

"Jika Tengku Amir Shah sudi menjadi presiden, keputusan itu sangat dialu-alukan oleh penyokong-penyokong Selangor. Mungkin Raja Muda dapat mengikut apa yang dilakukan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memajukan bola sepak Johor.

"Saya minta jika Tengku Amir atau sesiapa sahaja menjadi presiden nanti supaya FAS dapat diswastakan. Kalau lihat pengurusan sekarang langsung tidak ambil kisah cadangan oleh penyokong," katanya.

Lihat Komen
ADS