Ketua jurulatih skuad olahraga paralimpik negara, R Jaganathan berpuas hati melihat atlet-atlet di bawah pengawasan beliau berada dalam prestasi terbaik menjelang pembukaan rasmi temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, esok.

"Beberapa atlet menujukkan peningkatan memberansangkan di mana mereka berjaya melakukan catatan masa lebih baik pada sesi latihan. Perkara ini memberi keyakinan kepada saya yang mereka mampu melakukan sesuatu nanti," kata Jaganathan, dalam laman Facebook rasmi Majlis Sukan Negara (MSN) iaitu Majlis Sukan Negara Malaysia hari ini.

Jaganathan berkata beliau tidak risau terhadap taktik lawan yang turut memantau sesi latihan anak-anak buahnya, sebaliknya menyifatkan ia sebagai pencetus semangat kepada atlet negara untuk menunjukkan mereka juga patut digeruni.

"Ia satu motivasi baik kepada atlet agar mereka masuk bertanding dengan keyakinan tinggi tanpa rasa gentar dengan lawan yang lain," katanya.

Dalam pada itu, Jaganathan menaruh keyakinan tinggi atlet seperti Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin mampu mencipta kejutan di temasya kali ini.

"Saya sudah menganggap kesemua mereka seperti anak saya sendiri. Saya selalu memberi kata-kata semangat...sudah berada di sini (Rio) dan mereka akan lakukan sesuatu yang membanggakan," kata Jaganathan.

Atlet pecut Mohamad Ridzuan, 29, yang kini menghuni ranking kedua dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) akan turun beraksi dalam acara 100 meter T36 (cerebral palsy) pada 10 Sept ini dan diikuti acara lompat jauh pada 12 Sept.

Bagi Siti Noor Iasah, 27, ranking ketiga dunia IPC pula bakal bersaing dalam acara 400 meter T20 (masalah pembelajaran) pada 12 Sept.

Selain Mohd Ridzuan dan Siti Noor Iasah, turut membawa cabaran negara dalam acara trek temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro ialah Abdul Latif Romly (lompat jauh T20), H. Krishna Kumar (400 meter T38), Mohd Nasharuddin Mohamad (400 meter T20), Mohamad Faizal Aideal Suhaimi (100 meter T12), Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh T20) dan Amir Firdaus Jamaluddin (lompat jauh T38).

Sementara itu saingan dalam acara padang pula akan disertai pemenang pingat gangsa pada temasya Sukan Paralimpik London, Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20).

-Bernama