3-0, Garuda cakar Harimau Malaysia
Tiga jaringan skaud Indonesia dalam tempoh 22 minit separuh masa pertama memberi tamparan hebat buat Harimau Malaysia dengan kekalahan 3-0 di Stadium Manahan, Solo malam tadi.
Dengan misi mencari keserasian antara pemain, kunjungan anak didik Datuk Ong Kim Swee begitu mudah dijinakkan skuad kebangsaan Indonesia.
Walaupun sudah lebih setahun tidak beraksi di pentas antarabangsa susulan penggantungan, skuad Garuda ternyata menggembirakan penyokongnya.
Di depan puluhan ribu penyokong mereka, skuad asuhan Alfred Riedl tampil mengaibkan Malaysia.
Apa yang berlaku di negara jiran itu barangkali sukar diterima peminat bola sepak negara. Kesilapan mudah, tiada keserasian dan lambat melawan dilihat menjadi masalah untuk Harimau Malaysia tunjukkan belang.
Pasukan tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk meraih gol demi gol pada aksi persahabatan antarabangsa kelas A itu.
Boaz Salossa menggegarkan gawang Malaysia seawal minit ketujuh susulan kealpaan benteng pertahanan pasukan pelawat.
Setelah itu, Garuda tidak perlu menanti lebih lama untuk terbang lebih tinggi.
Irfan Bachdim bijak memanfaatkan umpanan Boaz melalui tendangan ke sisi kiri penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.
Jentera skuad kebangsaan yang diketuai Amri Yahyah dilihat cuba bangkit dari kesilapan selepas ketinggalan 0-2, sebaliknya tuan rumah menggandakan jaringan untuk gol ketiga mereka.
Boaz sekali lagi merekodkan nama sebagai penjaring dengan memanfaatkan peluang dengan sepakan kencang menewaskan Khairul Fahmi di minit ke-22.
Lambat melawan
Terdahulu Amri berpeluang mencipta gol melalui tendangan bebas, sayangnya sepakannya pada minit ke-16 itu sedikit meleset.
Aksi 45 kedua menyaksikan pemain Malaysia mula tampil menguasai permainan, manakala tuan rumah dilihat lebih defensif menahan serangan lawan.
Segalanya seolah-olah sudah terlambat, skuad negara hanya dilihat begitu tertekan dengan halangan demi halangan dalam setiap misi serangan dilakukan sebelum perlawanan berakhir dengan keputusan 3-0.
Misi skuad Harimau Malaysia selepas adalah berdepan cabaran Singapura pada 7 Oktober depan dalam persiapan menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2016.

