Paling penting kandungan pendrive, tegas KJ
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menempelak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana 'sibuk' mencari individu yang menyebarkan maklumat dalam pemacu pena (pendrive) yang diserahkan oleh Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Beliau berkata, FAM tidak sepatutnya memburu individu yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat berkenaan, sebaliknya mendedahkan kandungannya untuk dinilai sendiri peminat bola sepak negara.
"Sudah pasti yang penting adalah isi kandungannya sebab dari segi keutamaan, saya percaya peminat bola sepak tak nak dengar sangat daripada FAM mengenai siapa membocorkan maklumat itu.
"Perkara lebih penting adalah isi kandungan pendrive berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Kyoto-ASEAN bertajuk 'Jendela untuk ASEAN: Antarabangsa dan Inovatif' di Kuala Lumpur seperti dilaporkan BH Online hari ini.
FAM sebelum ini dikritik apabila badan induk bola sepak negara itu ingin menyiasat dalang penyebar maklumat dalam pendrive berkenaan.
Isu membabitkan pemacu pena itu bermula pada 18 Julai lalu apabila Tunku Ismail yang juga pemilik kelab bola sepak JDT mendakwa mempunyai bukti mengenai salah laku dalam FAM.
Pemacu pena itu diserahkan kepada Khairy pada 2 September sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegagan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun SPRM kemudiannya mengesahkan maklumat terbabit tiada kaitan dengan unsur rasuah dan penyelewengan.

