Hanya tinggal sembilan hari lagi, persembahan Wrestlecon 2016 (PGMania 6) bakal menemui peminat gusti profesional tanah air pada 17 September ini.

Wrestlecon atau lebih dikenali sebagai PGMania sebelum ini adalah siri ke-6 persembahan gusti profesional sejak diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2011.

Penganjur Wrestlecon 6 ketika dihubungi berkata, persiapan kini sedang berlangsung dengan pelbagai aktiviti telah siap diatur bagi mengisi jadual sepanjang karnival nanti.

"Dengan acara sebesar Wrestlecon 2016 akan menjadi platform terbesar dalam sejarah gusti pro Malaysia.

"Pameran Wrestlecon kali ini menjanjikan suasana lebih gempak dengan aktiviti menarik bukan sahaja untuk dewasa bahkan kanak-kanak.

"Pelbagai aktiviti bakal disediakan termasuk acara utama iaitu perlawanan diantara Shaukat dan The D (penyandang juara) bagi merebut kejuaraan Kejuaraan MyPW World to Regional, Kejuaraan MyPW Wrestlecon antara A-5th dan Furious Faizal," kata jurucakapnya yang dikenali sebagai Kevin.

Sementara itu, Shaukat yang kehilangan gelaran sebelum ini kembali mencabar untuk merangkul kejohanan MyPW World to Regional.

Bagi Furious Faizal pula, dia pastinya mahu mempertahankan kejuaraannya dalam aksi menentang A-5th.

"Tetamu misteri masih dirahsiakan. Ia adalah kejutan buat pengunjung Wrestlecon 2016.

"Ibu bapa disarankan supaya memerhati perilaku anak-anak supaya tidak terbawa-bawa ketika mengunjungi pameran tersebut," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi pagi tadi.

Peminat turut berpeluang bergambar bersama ahli gusti profesional tempatan, menemui tetamu antarabangsa dan menyertai pelbagai acara yang disediakan.

Aktiviti lain seperti pertandingan peragaan (cosplay), kejohanan WWE 2K17 dan kejohanan gusti lengan turut diadakan.

Bagi peminat gusti tanah air, jangan terlepas peluang untuk menyertai acara terbesar pro gusti Wrestlecon 2016 yang bakal berlangsung pada 17 September bertempat di stadium Chin Woo, Kuala Lumpur.

Tiket prajualan bernilai RM30 telah mula dijual dan tiket-tiket tersebut juga boleh didapati di kaunter-kaunter jualan pada hari program dan maklumat lanjut boleh layari Facebook PeminatGustiMalaysia.