Ketua Whip DAP merangkap Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke menggesa kerajaan untuk menawarkan insentif khas untuk atlet yang mencipta rekod dunia baru.

Ini berikutan kejayaan atlet paralimpik Malaysia Muhamad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly pada temasya Sukan Paralimpik di Rio dengan kedua-dua mereka mencipta rekod baru dunia dalam acara masing-masing.

“DAP menyokong penuh dasar Kementerian Belia dan Sukan untuk memberikan ganjaran yang setimpal dengan atlet-atlet Olimpik kepada pemenang-pemenang di Paralimpik.

“Ketiga-tiga wira Paralimpik yang merangkul pingat emas untuk Malaysia wajar diberikan ganjaran RM1 juta setiap orang.

“Malah, saya ingin mencadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin supaya mendapatkan kelulusan dari Kabinet untuk memberikan insentif khas kepada atlet-atlet yang memecahkan rekod dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Temaya Sukan Paralimpik di Rio, Brazil berlangsung dari 7 September hingga 18 September.

Malaysia telah mendapat tiga pingat emas setakat ini, meletakkannya di tanggake-18 daripada 67 negara yang bertanding.

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi meraih emas Paralimpik pertama Malaysia selepas memenangi acara 100 meter lelaki T36 (cerebral palsy) dengan catatan masa 12.07 saat.

Catatan masa yang dibuat oleh atlet yang berasal dari Padang Besar, Perlis itu juga merupakan rekod baru kejohanan, berbanding 12.25s yang dibuat atlet dari Ukraine, Roman Pavlyk di temasya di Beijing 2008.

Seterusnya, Muhamad Ziyad Zolkefli mendapat pingat emas acara lontar peluru F20 lelaki (kurang upaya intelektual). Selain berjaya meraih emas, beliau turut mencipta rekod dunia acara itu dengan catatan 16.84m.

Muhammad Ziyad memadamkan rekod dunia yang dicatat Todd Hodgetts dari Australia sejauh 16.29m di Paralimpik London 2012.

Abdul Latif pula memenangi pingat dalam acara lompat jauh T20 lelaki (kurang upaya intelektual). Dia mencatatkan kejayaan berganda apabila mencatat rekod baru dunia dengan lompatan 7.60 meter.

[Baca berita penuh]