Atlet negara Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin terlepas pingat dengan meraih kedudukan keempat dalam aksi akhir acara 400 meter T20 wanita (masalah pembelajaran) di temasya Paralimpik Rio de Janeiro.

Dalam saingan yang berlangsung di Stadium Olimpik Rio awal pagi tadi, Siti Noor Iasah menamatkan saingan dengan catatan masa 58.55 saat.

Walaupun sudah berada pada kedudukan tempat ketiga, Siti Noor Iasah berjaya dipintas pelari dari Poland, Barbara Niewiedzial disaat akhir walaupun atlet itu rebah sebaik tiba di garisan penamat.

Keadaan itu menyebabkan kontinjen negara membuat bantahan selepas Siti Noor Iasah dilihat mendahului, namun bantahan tersebut ditolak.

Bagaimanapun, atlet berusia 27 tahun itu sekali lagi berjaya memperbarui rekod Sukan Para Asia iaitu 58.96 saat miliknya yang dilakukan pada peringkat saringan, awal pagi semalam.

Pingat emas bagi acara itu dimenangi atlet Amerika Syarikat Breanna Clark, manakala perak dimenangi wakil Ukraine Natalia Iezlovetska.

Sementara itu Malaysia ada satu lagi peluang melalui Siti Noor Iasah untuk memburu pingat dalam acara lompat jauh wanita T20 yang bakal berlangsung esok.