Kedah, Selangor, T-Team dan PDRM ke separuh akhir
Empat pasukan mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Malaysia 2016 selepas mengatasi lawan masing-masing pada aksi suku akhir kedua, malam ini.
Beraksi di gelangang sendiri, Kedah tampil garang membelasah Negeri Sembilan dengan jaringan 5-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Tiga pemain import sandaran skuad Tan Cheng Hoe beraksi cemerlang apabila masing-masing menghadiahkan gol buat pasukan mereka.
Dalam tempoh 19 minit Smeltz Shane Edward, menjaringkan dua gol pada minit ke-24 dan 33', disusuli jaringan Thiago Augusto untuk untuk ketiga Kedah di minit ke-39.
Bersambung aksi 45 minit kedua, Thiago sekali lagi merobek gawang pasukan pelawat pada minit ke-50.
Tampil menguasai perlawanan, prestasi skuad Helang Merah ternyata sukar digugat lawan.
Kedah seolah-olah melaungkan amaran awal kepada lawan mereka pada aksi separuh akhir, tiga minit sebelum perlawanan tamat giliran Liridon Krasniqi pula merekodkan gol kelima mereka.
Kemenangan itu menyaksikan Kedah mara ke pusingan separuh akhir dengan agregat 5-0 selepas kedua-dua pasukan seri 0-0 pada suku akhir pertama sebelum ini.
Di Stadium Hang Jebat, Melaka, Kelantan terpaksa akur apabila terkandas untuk ke peringkat seterusnya walaupun berjaya mengatasi PDRM 1-0.
PDRM mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2.
Sementara itu di Stadium Shah Alam, juara bertahan - Selangor menepati jangkaan untuk ke separuh akhir dengan mengatasi PKNS FC 1-0 dan mara dengan agregat 5-3.
Satu lagi pertemuan antara Felda United dan T-Team berpihak kepada kelab dari Terangganu apabila tampil mengatasi tuan rumah 1-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
Keputusan itu menyaksikan T-Team layak ke saingan separuh akhir dengan kelebihan agregat 2-1 selepas masing-masing terikat 1-1 pada suku akhir pertama sebelum ini.
Pusingan separuh akhir nanti Kedah bakal berdepan PDRM, manakala Selangor bertemu T-Team.

