Malaysia B19 tewas 3-2 pada Timor Leste
Malaysia mengalami kekalahan pertama dalam Kejohanan Bola Sepak ASEAN Bawah 19 Tahun apabila tewas 3-2 kepada Timor Leste dalam perlawanan peringkat kumpulan di Hanoi, Vietnam, semalam.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan dalam kumpulan A itu terikat enam mata selepas tiga perlawanan dengan Malaysia menduduki tangga kedua kumpulan dengan kelebihan jaringan.
Sebelum ini, Malaysia memenangi dua perlawanan iaitu mengalahkan Filipina 5-0 pada perlawanan pembukaan pada Selasa lepas dan Singapura 2-1, dua hari kemudian.
Dalam perlawanan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen swasta, Gelvanio Angelo Alberto muncul wira pasukan Timor Leste apabila meledakkan gol kemenangan pada minit ke-70.
Penyerang berbisa, Frangcyatma Ime Keli membuka tirai jaringan apabila menghadiahkan Timor Leste dengan dua gol pertama pada minit ke-31 dan 35.
Bagaimanapun, skuad negara bimbingan, Frank Bernhardt, berjaya merapatkan jurang menerusi Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew pada minit ke-45 separuh masa sebelum Muhammad Danial Ashraf Abdullah menyamakan kedudukan pada babak kedua dengan jaringan pada minit ke-58.
Penolong jurulatih negara, Aminuddin Hussin berkata kekalahan itu disebabkan ketiadaan beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan sehingga memaksa berlaku perubahan dalam barisan kesebelasan utama.
"Kami mempunyai keupayaan teknikal tetapi tidak konsisten," beliau dipetik sebagai berkata dalam laman web Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) www.aseanfootball.org.
Sementara itu, ketua jurulatih Timor Leste, Shigeo Yamazaki, memuji anak buahnya kerana memperagakan aksi cemerlang untuk mengalahkan Malaysia.
"Bukan mudah untuk meramalkan sebelum perlawanan yang kita akan mengalahkanMalaysia. Kami mempunyai keupayaan dan saya memberitahu pemain supaya berusaha keras dan mencari peluang untuk melakukan jaringan," kata jurulatih dari Jepun itu.
Malaysia akan melengkap perlawanan peringkat kumpulan dengan menentang tuan rumah, Vietnam manakala Timor Leste berdepan dengan Singapura di Stadium Hang Day, Isnin ini.
Sebanyak 11 negara bersaingan dalam kejohanan tersebut. Kesemua pasukan itu dibahagikan dalam dua kumpulan dengan dua pasukan teratas selepas pusingan awal mara ke peringkat separuh akhir.
- Bernama

