Pengurus Manchester United (MU), Jose Mourinho menilai tiga faktor yang menyebabkan pasukannya tewas 1-3 ketika berdepan Watford dalam aksi kelima EPL, awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad The Red Devil dikecewakan menerusi jaringan Etienne Capoue, Juan Zuniga dan Troy Deeney dengan hanya dibalas satu gol oleh Marcus Rashford buat MU.

"Saya melihat tiga faktor dari perlawanan ini. Namun, hanya satu faktor yang boleh saya perbaiki," kata Mourinho seperti dilaporkan BBC.

"Faktor pertama berkait dengan kesilapan individu dan pasukan. Kami harus memperbaikinya kerana hal ini bergantung kepada kami sendiri," katanya.

Gol pertama Watford oleh Capoue tercipta susulan kesalahan Anthony Martial.

Bola dari kaki penyerang itu berjaya dirampas lawan dan membuka peluang tuan rumah menjaringkan gol.

Bagi Mourinho, ketika itu sudah berlaku kekasaran terhadap Martial.

Namun, pengadil perlawanan Michael Oliver memberi kelebihan kepada Watford.

"Faktor kedua berhubung dengan pengadil dan saya tak dapat mengawal kesalahan mereka. Cerita perlawanan ini adalah hasilnya dan bukan dari situasi aneh terhasilnya gol pertama," ujar jurulatih kelahiran Portugal itu.

"Faktor ketiga adalah bernasib baik dan ia tak berpihak kepada kami. Kami pasukan terbaik, tetapi kalah," katanya.

Sementara itu, Mourinho memberi pujian kepada penjaga gol Watford, Heurelho Gomes yang dilihat membuat aksi penyelamatan hebat ketika menafikan percubaan Zlatan Ibrahimovic.

Bagi Mourinho, kekalahan ketiga berturut-turut yang dialami MU dalam satu musim itu merupakan kali pertama dialaminya sejak menjadi jurulatih Porto FC Porto pada 2002.

Sebelum ini, MU tewas berdepan Manchester City pada aksi keempat EPL dan tewas 0-1 berdepan Feyenoord dalam saingan Liga Eropah.