Aksi berdarah di gelanggang Wrestlecon 2016
Membawa bekalan senjata berupa raket tenis dan perisai ke gelanggang Wrestlecon 2016, pengusti Singapura - Ladykiller kecundang dengan titisan darah dalam aksi MYPW Extreme Championship.
Pertembungan tiga penjuru turut melibatkan Double-K dan Razza begitu menggamatkan sorakan lebih 300 penonton di Stadium Chin Woo Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Diiringi dua teman wanitanya, Ladykiller tampil yakin untuk merebut gelaran yang disandang Razza.
Razza dilihat tenang menggalas tali pinggang gelaran berjalan ke gelanggang, manakala Double-K dengan lagak angkuhnya membawa penyodok sampah sebaik dipanggil komisioner perlawanan.
Tiada komen panjang daripada ketiga-tiga seteru itu, Razza memulakan ancaman dengan senjata rahsia yang disimpan di bawah gelanggang.
Kerusi besi miliknya menghentam Double-K bergiliran dengan raket ditangan Ladykiller.
Namun, beberapa saat situasi bertukar kepada penguasaan Double-K. Tangga besi dan tong sampah besi turut menghiasi gelanggang.
Dengan aksi 'akrobatik extreme' silih berganti menghenyak tubuh ke tali penghadang, akhir membawa padah kepada Ladykiller dengan serangan taktikal Razza mendatangkan kecederaan di bahagian kepala.
Namun, dia tetap cuba bertahan dengan titisan darah menguasai sebahagian muka sebelum ancaman Razza diketepikan dan kosentrasinya terhadap Double-K.
Umpanan tangga besi, perisai di tangan kirinya Ladykiller mengumpan serangan terhadap Double-K. Terjunan ke atas tangga besi yang menindih badan si angkuh itu seolah-olah perlawanan sudah berpihak kepadanya.
Namun, Razza bangkit mengganggu fokus Ladykiller sebelum kedua-dua terjerat dengan taktik Double-K, pemilik gelaran baru MYPW Extreme Championship.
Sementara itu, acara gusti tempatan terbesar anjuran Malaysia Pro Wrestling itu turut menyaksi pertarungan MyPW World to Regional Championship menyaksikan gelaran itu masih kekal menjadi milik The D mengenepikan cabaran Shaukat.
Walaupun sudah menghampiri kemenangan, Shaukat hilang kelayakan meneruskan aksi selepas pukulan di bahagian sulit lawannya menyebabkan perlawanan terbatal dan tali pinggang gelaran itu kekal milik The D menamatkan debaran Wrestlecon 2016.
Susulan itu, komisioner perlawanan dan dua pengadil turut menjadi mangsa amukan Shaukat yang tidak berpuas hati dengan tersebut.
Terdahulu, pembuka saingan menyaksikan pertarungan kategori 8-Man International Tag Team match menampilkan The Eurasian Dragon, Nyc, Mighty Mighty dan Black Arrow menentang The Statement, Greg Glorious, Paksa and EK Baki.
Berlangsung selama tiga jam, Wrestlecon 2016 turut menampilkan pertarungan MyPW Gaunlet Match, Triple Threat Match, Women Triple Threat Match dan MyPW Wrestlecon Championship.

