Kumpulan atlet Paralimpik yang mencapai kejayaan memberangsangkan dalam kejohanan di Rio de Janeiro, Brazil akan diarak secara konvoi mengelilingi Kuala Lumpur.

Selepas sambutan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada Khamis ini, mereka akan dibawa ke ibu negara.

Mereka akan diberi penghormatan kepada atlet paralimpik negara yang dijadual tiba di Jalan Tun Razak kira-kira pukul 5.30 petang.

Dari tempat itu, atlet negara akan dibawa dengan bas tidak berbumbung ke KLCC melalui Jalan Ampang, seterusnya berhenti seketika di pintu masuk Dewan Filharmonik Petronas sebelum menuju ke Pavilion melalui Jalan Sultan Ismail dan Jalan Raja Chulan.

Atlet-atlet akan berhenti sekali lagi di pancutan air berhadapan pintu utama Pavilion di Jalan Bukit Bintang, sebelum bergerak ke Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan, di mana konvoi berakhir.

Menulis di Facebook, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berharap orang ramai turut menzahirkan sokongan kepada atlet yang mencapai prestasi terbaik negara dalam sejarah penyertaan dalam temasya Paralimpik.

“Di media sosial kita dah sokong, jangan berakhir takat itu sahaja.

“Jom kita sambut wira-wirawati kita ini!” tulisnya.