Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
JDT luaskan kuasa ke separuh akhir Piala AFC
Diterbitkan:  Sep 20, 2016 10:39 PM
Dikemaskini: 3:15 PM

Penyandang juara Piala AFC, JDT berjaya mara ke peringkat separuh akhir dengan menewaskan South China FC 2-1 di gelanggang sendiri, sebentar tadi.

Keputusan aksi suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu adalah sejarah kedua dicipta skuad Harimau Selatan meneruskan kecemerlangan musim lalu.

Pemain import dari Argentina, Juan Martin Lucero menceriakan penyokong tuan rumah untuk gol pertama JDT pada minit ke-57 melalui umpanan Azamuddin Akil.

Sepatutnya JDT sudah boleh bergembira kerana Lucero berpeluang mencatat gol lebih awal apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti.

Namun, kapten JDT Safiq Rahim gagal menyempurnakan tendangan itu apabila bola berjaya ditepis penjaga gol lawan.

JDT mendapat sepakan penalti pada minit ke-50 susulan kekasaran dilakukan ke atas Jorge Pereyra Diaz.

Bagaimanapun, Diaz tampil menggandakan kegembiraan penyokong mereka dengan jaringan kedua di hujung masa perlawanan.

Sepakan penjuru dilakukan Safiq bijak ditanduk Diaz untuk membolosi gawang South China yang dikawal Tsang Man Fai.

Terdahulu, aksi separuh masa pertama memperlihatkan anak buah Mario Gomez menguasai permainan dalam usaha mencari bekalan lebih selesa selepas keputusan seri 1-1 pada suku akhir pertama di tempat lawan, minggu lalu.

Banyak percubaan dilakukan jentera serangan JDT untuk 45 minit pertama, antara yang paling menarik percubaan dari luar kotak penalti dilakukan Azamuddin.

Sayangnya, palang menjadi penghalang untuk JDT meraikan gol pertama lebih awal pada minit ke-31 itu.

Sementara itu, kembali dari bilik persalinan untuk 45 minit kedua corak permainan skuad juara Liga Super 2016 itu semakin agresif melemaskan pertahanan pasukan pelawat.

Dua gol berjaya dijaringkan mereka sebelum South China memperolehi gol saguhati mereka pada masa tambahan melalui Nikola Komazec untuk agregat 3-2.

Lihat Komen
ADS