Malaysia Dragons kembali beraksi di Piala Merlion
Selepas menjulang piala kejuaraan Asean Basketball League (ABL) awal tahun ini buat kali pertama, Westports Malaysia Dragons bakal kembali beraksi dalam kejohanan Piala Merlion (Merlion Cup) di Singapura.
Kejohanan tersebut dibawakan kembali tahun ini selepas 20 tahun yang lalu oleh Persatuan Bola Keranjang Singapura disertai oleh enam pasukan termasuk juara ABL Malaysia Dragons, naib juara Singapore Slingers, Mighty Sports (Filipina), Seoul Samsung Thunders (Korea Selatan), Shanghai Sharks (China) dan Kinmeng Kaoliang Liquor (Taiwan).
Piala Merlion dijadual berlangsung dari 21 hingga 26 September di OCBC Arena, Singapura.
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Goh Cheng Huat yang juga mengetuai pasukan Dragons kali ini turut disertai oleh ketua jurulatih baru Malaysia Dragons, Christopher Thomas dari Amerika Syarikat.
Goh menzahirkan rasa kagumnya terhadap pasukan-pasukan dalam kejohanan ini, namun tetap yakin terhadap potensi pasukan Dragons menghadapi cabaran bersama pasukan baru ini.
"Kami akan menyaksikan perlawanan antara Samsung Thunders dan Mighty Sports, meneliti setiap langkah dan strategi untuk bersiap sedia dalam perlawanan nanti," kata Goh.
Mighty Sports dari Filipina mengumpul mata pertama mereka dalam perlawanan sengit menentang Seoul Samsung Thunders, 92-87.
Tuan rumah Singapore Slingers membuka kejohanan dengan kemenangan 79-71 dengan Kinmen Kaoliang (Taiwan) dalam kumpulan A.
Kejohanan kali ini di Singapura bukan mudah buat Malaysia Dragons dengan dua bekas pemain import Asean mereka, Jason Brickman dan Matthew Wright kini beraksi bersama Mighty Sports.
Jason Brickman, 25, merupakan pemain professional yang berasal dari Amerika Syarikat dianugerahkan pemain terbaik ABL Final manakala Matthew Wright, 25, dari Kanada pula memenangi anugerah pemain terbaik ABL Asean.
Bekas ketua jurulatih Malaysia Dragons, Ariel Vanguardia yang telah berkhidmat di Dragons sejak 2012 kini dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan Phoenix Petroleum Philippines dalam Liga Bola Keranjang Filipina (PBA League) bermula awal Jun tahun ini.
Rombakan baru dalam pasukan kebangsaan
Pasukan Malaysia Dragons selepas musim ABL awal tahun ini telah dirombak dan masih pada peringkat awal dan pengukuhan.
Ketiadaan empat pemain import dalam kejohanan ini termasuk perubahan ketua jurulatih sedikit sebanyak akan memberi impak terhadap prestasi Dragons menghadapi musim baru ABL yang bakal bermula November nanti.
Malaysia Dragons kini disertai oleh kebanyakan pemain kebangsaan, Kuek Tian Yuan, Ho Yeow Loong, Syahrul Ridzuan, Wong Yi Hou, Yim Shen Hao, Ting Chun Hong, Ivan Yeo, Ong Wei Yong, Anthony Liew dan juga pemain import Joel Wright dari Amerika Syarikat.
Namun, dengan rombakan baru dalam Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) yang kini diketuai oleh presiden baru, Datuk Lua Choon Hann yang juga peminat setia sukan ini, telah membawa kerjasama erat pasukan profesional negara, Westports Malaysia Dragons dengan pasukan kebangsaan.
Salah seorang pemilik Westports Malaysia Dragons yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif Westports Malaysia Berhad, Ruben Emir Gnanalingam, dilantik sebagai naib pengerusi MABA.
Westports Malaysia Dragons bakal beraksi pada 6.30 petang nanti dengan Seoul Samsung Thunders dalam perlawanan awal kumpulan B.

