Tunang Ziyad pilih bulan madu di Maldives
Bakal menamatkan zaman bujang pada November nanti, pemenang pingat emas Paralimpik Rio Muhammad Ziyad Zolkefli dan tunangnya Zafira Mohd Nasir memilih Maldives sebagai destinasi bulan madu mereka.
Zafira berkata, walaupun belum membuat keputusan muktamad, Ziyad memberi 'kuasa' untuknya memilih destinasi bulan madu mereka.
"Belum pasti (muktamad) lagi, mungkin saya pilih Maldives. Dia tak kisah dan suruh saya buat pilihan.
"Ada kawan cadang Bali dan macam-macam tempat lagi. Tengoklah macam mana nanti," katanya ketika ditemui di Komplek Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Sepang, hari ini.
Zafira hadir bersama keluarga Ziyad bagi menyambut kepulangan pemenang pingat emas acara lontar peluru (F20) pada temasya Paralimpik Rio, baru-baru ini.
Ditanya mengenai persiapan majlis perkahwinan mereka, Zafira berkata semua persiapan diuruskannya sendiri memandangkan Ziyad begitu sibuk dengan persediaan ke Paralimpik.
"Banyak persiapan untuk belah saya dan Ziyad saya yang uruskan sebab dia sibuk fokus latihan.
"Selepas dia balik ini dia janji nak bantu saya siapkan apa-apa yang belum dibuat," katanya yang berkenalan dengan Ziyad pada 2009.
Menceritakan keperibadi tunangnya itu, Zafira berkata sifat kelakar, peramah dan bertanggungjawab Ziyad telah memikat hatinya.
"Kami berkenalan pada 2009 di kolej, daripada situlah hubungan terjalin sehingga sekarang.
"InsyaAllah majlis perkahwinan kami seperti dirancang pada 11 November nanti," katanya.

