Najib: K'jaan akan tunai janji RM1 juta untuk emas Paralimpik
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan akan menunaikan janji ganjaran RM1 juta kepada pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016.
Berucap di majlis sambutan kepulangan kontinjen Paralimpik negara, Najib berkata, beliau akan menjadikan kejayaan luar biasa atlet Paralimpik itu sebagai ransangan untuk seluruh rakyat Malaysia.
"Insya-Allah mereka akan dapat ganjaran yang kita janjikan iaitu pingat emas RM1 juta dan pencen, pingat gangsa dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM200,00," katanya.
Kontinjen paralimpik mencipta sejarah cemerlang sukan negara dengan meraih tiga pingat emas dan satu gangsa menerusi acara olahraga.
Pingat emas pertama dimenangi atlet pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36, disusuli emas kedua menerusi Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20, yang turut mencipta rekod dunia dengan balingan sejauh 16.84 meter.
Pingat emas ketiga diraih Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 yang turut mencatat rekod baru dunia dengan lompatan 7.60m manakala gangsa diraih Siti Noor Radiah Ismail dalam acara lompat jauh T20 dengan memperbaharui rekod Sukan Para Asia dengan jarak 5.20m.
Najib berkata, atlet Paralimpik berkenaan perlu dijadikan ikon oleh seluruh rakyat Malaysia berikutan kejayaan luar biasa mereka.
"Kenapa saya kata begitu? Sebab kalau mereka walaupun ada sedikit sebanyak kekurangan pada diri, kita semua yang cukup sifat kalau kita ada kesungguhan yang lebih, pencapaian kita juga boleh menjadi kejayaan luar biasa.
"Inilah kisah mereka dan kisah luar biasa Paralimpik Rio 2016 ini saya nak jadikan ransangan kepada semua supaya kita akan berdiri lebih tinggi lagi.
Kita akan rasa lebih bangga lagi, kita akan rasa lebih bersungguh-sungguh lagi. Mereka ini contoh dan role model kepada semua," katanya.
Sementara itu, selain ganjaran yang dijanjikan, perdana menteri turut mengumumkan insentif kepada jurulatih sebagai penghargaan di atas sumbangan mereka.
Turut diberi penghargaan adalah Tun Jeanne Abdullah selaku penaung Majlis Paralimpik Malaysia atas kecemerlangan kepimpinannya.

