Westports Malaysia Dragons kecundang perlawanan pertama
Walaupun bermula dengan rentak yang agak baik pada permulaan perlawanan menentang Seoul Samsung Thunders, namun suku masa kedua membenamkan hasrat Malaysia Dragons apabila tewas 70-99 dengan mengutip 29 mata.
Westports Malaysia Dragons selaku wakil Malaysia dalam kejohanan Piala Merlion yang dianjurkan di Singapura gagal mengatasi Seoul Samsung Thunders yang lebih konsisten dan berpengalaman.
Seoul Thunders kalah dalam perlawanan semalam menentang Mighty Sports, 87-92.
Malaysia Dragons kembali beraksi dalam Piala Merlion kali ini dengan barisan pemain yang baru, termasuk beberapa pemain kebangsaan yang dibawa bersama dalam kejohanan-kejohanan sebelum ini.
Hanya Kuek Tian Yuan, Wong Yi Hou dan Ivan Yeo merupakan antara pemain sejak ABL musim lalu, manakala Ho Yeow Loong dan Yim Shen Hao pula, pernah beraksi dalam ABL yang lalu.
Berbekalkan seorang pemain import sahaja, Joel Dywane Wright dari Amerika Syarikat berjaya menyumbangkan 37 mata untuk Dragons. Namun, ketiadaan barisan pertahanan memberi peluang buat Thunders membolosi dengan mudah. Kuek Tian Yuan pula menjaringkan 8 mata dan 5 rebounds.
Akibat masalah pengurusan ejen, seorang lagi pemain import Dragons, Martin Ryan O'neil tidak sempat turut serta beraksi dengan pasukannya.
Thunders hampir menguasai setiap suku dalam perlawanan ini, terutamanya dalam suku kedua apabila Dragons dihadkan hanya 8 mata berbanding 31 mata, 32-64.
Jauh ketinggalan, Dragons tidak beralah dan kembali mengurangkan defisit mata dalam suku ketiga dengan jaringan 23 mata, 55-82.
Dragons mengakhiri perlawanan pertama ini dengan jaringan 36 peratus berbanding Thunders dengan 55 peratus. Walaupun Dragons mendapat rebound yang hampir sama dengan Thunders, ia tidak memadai sekiranya tidak ditukar dengan jaringan yang efektif buat pasukan.
Walaupun Dragons kecundang hampir 30 mata dalam tangan Thunders dari Korea Selatan, pasukan yang baru-baru dibentuk ini mempunyai peluang yang baik untuk memperbaiki corak dan rentak mereka selepas ini.
Sementara itu Ketua jurulatih Goh Cheng Huat berpendapat bahawa strategi yang masih bergantung kepada pemain import tidak memadai untuk mengalahkan pasukan Korea itu.
"Kami terlalu bergantung kepada pemain import (Joel Wright) dan tidak mampu menunjukkan potensi sebenar pasukan Dragons.
"Pemain tempatan pula masih bermain dengan cara lama dan bergantung kepada pemain import. Saya dan jurulatih baru Dragons, Christopher Thomas percaya dengan adanya asas yang kukuh untuk para pemain tempatan, mereka akan memperbaiki prestasi sedikit demi sedikit," kata Goh.
Westports Malaysia Dragons akan bertemu Mighty Sports dari Filipina esok pada pukul 6.30 petang.

