Teguh, kental dan tampak bagai juara sejak permulaan Kejohanan Bola Keranjang Asia Tenggara (SEABA) apabila pasukan wanita negara membenamkan Singapura pula malam ini hampir 30 mata, 76-47.

Ia kemenangan ketiga berturut-turut selepas Malaysia mengalahkan pasukan Indonesia sebanyak dua kali sebelum ini.

Pasukan Singapura ternyata tidak mampu menangkis serangan bertubi-tubi hingga akhirnya terpaksa akur dengan ketangkasan pasukan kebangsaan.

Pasukan Malaysia mendahului dengan mudah sebanyak 24 mata dalam separuh masa pertama, 40-16.

Singapura sebelum ini menang satu perlawanan ketika bertemu Thailand, 76-67 dan kalah dalam perlawanan pertama mereka dengan Filipina, 43-69.

Pasukan wanita negara yang juga pemenang pingat emas Sukan Sea 2015 mengekalkan momentum dan prestasi yang konsisten dalam kejohanan ini.

Pang Hui Ping berjaya menjaringkan 15 mata, 9 rebounds dan 5 assist manakala Yap Fook Yee dan Kalaimathi Rajintran masing-masing menyumbangkan 12 dan 11 mata.

Kejohanan SEABA di Bandaraya Melaka kali ini merupakan kejohanan yang diadakan dua tahun sekali.

Dengan tujuh pasukan yang menyertai kejohanan ini, dua pasukan terbaik akan layak ke peringkat seterusnya iaitu kejohanan FIBA Asia wanita yang bakal diadakan tahun depan.

Malaysia pernah menduduki tempat keempat dalam kejohanan itu pada tahun 1977 dan 1985.

Pasukan Malaysia akan bertemu Filipina pada 24 September ini.