Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Legenda golf, Arnold Palmer meninggal dunia
Diterbitkan:  Sep 26, 2016 1:06 PM
Dikemaskini: 5:19 AM

Bekas pemain golf Amerika Syarikat Arnold Palmer yang dianggap legenda dalam sejarah sukan itu dilaporkan meninggal dunia pada usia 87 tahun, awal pagi tadi.

Palmer meninggal dunia di Hospital UPMC Presbyterian di Pittsburgh, Pennsylvania, ketika menjalani ujian jantung, lapor Pittsburgh Post-Gazette.

Perkara itu turut disahkan Persatuan Golf Amerika Syarikat melalui Twitter.

Sepanjang kariernya, Palmer menjuarai lebih daripada 90 kejohanan di seluruh dunia.

Rakan rapatnya, Jack Nicklau menyifatkan pemergian Palmer sebagai satu kehilangan amat besar.

"Kita baru saja kehilangan seorang salah seorang yang luar biasa dalam sukan golf dan dalam semua sukan.

"Arnold melampaui permainan golf. Dia lebih daripada seorang pemain golf atau pemain golf yang hebat. Dia adalah legenda," katanya di laman sosial seperti dilaporkan BBC.

Palmer berjaya menarik ribuan peminat yang dikenali Arnie's Army' dan membantu untuk mempromosi permainan golf ke zaman televisyen.

"Hari ini menandakan berlalunya zaman itu," kata Alastair Johnston, Ketua Pegawai Eksekutif Arnold Palmer Enterprises.

"Arnold Palmer pengaruh, profil dan pencapaiannya merebak jauh ke luar permainan golf.

"Dia adalah seorang rakyat Amerika yang ikonik dan mendampingi orang dengan penuh hormat dan mesra dan membina legasi unik melalui keupayaannya untuk mendekatkan diri dengan peminat," ujarnya.

Pemergian bintang golf itu turut dibanjiri dengan ingatan daripada bintang golf masa kini.

 

 

"Terima kasih Arnold atas persahabatan, nasihat dan gelak ketawa. Kemurahan dan kerendahan hati anda adalah sebahagian daripada legenda," tulis Tiger Woods di Twitter.

Palmer dilahirkan di Latrobe, Pennsylvania, pada tahun 1929 merupakan anak seorang penyelenggara kawasan di kelab tempatan dan muncul sebagai pemain profesional di kelab golf di sana.

Beliau adalah salah seorang pemain yang paling dominan dalam sukan itu pada 1950-an dan awal 1960-an, memenangi tujuh kejuaraan utama dalam tujuh musim di samping 62 kemenangan dalam kejuaraan PGA.

Lihat Komen
ADS