Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Hati Vida sudah retak dengan Kelantan
Diterbitkan:  Sep 27, 2016 2:35 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Jutawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman dilaporkan tidak mahu meneruskan tajaan kepada pasukan Kelantan selepas kecewa dengan prestasi hambar The Red Warriors.

Pengasas produk Qu Puteh yang lebih dikenali sebagai Vida itu berkata beliau membuat keputusan itu selepas pelaburannya tidak menampakkan hasil.

“Hati saya sebenarnya sudah retak, tiada lagi rasa bahang macam awal musim dulu.

“Saya amat kecewa dengan prestasi Kelantan yang saya rasakan tidak berbaloi dengan pelaburan besar saya.

“Saya orang bisnes, sudah tentu saya amat terkesan kerana prestasi hambar pasukan sedikit sebanyak menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap produk saya,” katanya seperti dilaporkan portal mStar.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan Vida tidak mahu lagi terlibat dengan penajaan sukan, sebaliknya mahu memberi perhatian dalam bidang filem, produk kecantikan serta kesihatan.

Terdahulu, pemilik Vida Beauty Sdn Bhd dilaporkan melahirkan rasa kecewa dengan prestasi pemain pasukan itu dan membayangkan tidak berminat meneruskan penajaannya.

"Sebagai penaja utama, sudah tentu harapan dan impian saya nak tengok pasukan yang bagus dan dalam masa yang sama mengheret produk saya untuk menjadi semuanya bagus juga tetapi, sebaliknya.

"Jadi saya kena berbincang dengan Tan Sri Annuar Musa tentang kedudukan status saya sebagai penaja.

"Semestinya saya nak pulangan, bukan sekadar nama bukan sekadar hanya cakap besar, dan bukan sekadar nama sampai kelangit tapi produk tah ke mana," katanya seperti dilapor Sinar Harian Online hari ini.

Sebelum ini timbul khabar angin mengatakan Hasmiza tidak lagi berminat meneruskan penajaan walaupun mengikut perjanjian beliau akan melabur kepada skuad The Red Warriors selama dua musim.

Usahawan kelahiran Machang, Kelantan itu tampil mengejutkan industri bola sepak pada awal tahun ini dengan hasrat menaja pasukan Kelantan.

Beliau menandatangi kontrak bernilai RM16 juta bersara Persatuan Bola Sepak kelantan (Kafa), Januari lalu bagi penajaan musim 2016 dan 2017.

Sementara itu, Hasmiza ketika dihubungi Malaysiakini melalui aplikasi WhatsApp tidak memberi sebarang respon berkaitan isu tersebut.

Lihat Komen
ADS