Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Penyokong jawab Vida, usah fikir untung sekelip mata

Penyokong bola sepak Kelantan tampil menjawab dakwaan penaja utama skuad The Red warriors Datuk Seri Hasmiza Othman yang merungut 'tidak nampak untung' hasil penajaan terhadap pasukan itu.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.net) Mahizi Mahmood berkata, sebagai penyokong mereka amat bersyukur apabila Hasmiza pada awalnya mengaku ingin membantu Persatuan Bola Sepak kelantan (Kafa).

Lebih-lebih lagi katanya, terdapat anak kelantan yang ikhlas membantu di kala bola sepak Kelantan sedang 'sakit' pada ketika itu.

"Sememangnya bola sepak boleh dijadikan platform untuk memperkenalkan jenama, tapi bukan untuk mendapat keuntungan berjuta-juta sekelip mata.

"Jangan ada niat kita menolong orang yang sakit dan berharap apabila sembuh, kita gunakan orang sakit ini sepenuhnya," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Hasmiza atau dikenali sebagai vida hari ini dilaporkan sudah tawar hati untuk meneruskan tajaannya terhadap pasukan Kelantan susulan produk keluaran syarikatnya dan jersi tidak mendapat sambutan penyokong.

Mahizi berkata, pihaknya mengakui Hasmiza telah membawa nafas baru dalam bola sepak di negeri Cik Siti Wan kembang itu sehingga memberi harapan tinggi buat penyokong.

"(Hasmiza) Memberi harapan kepada penyokong sehingga penyokong meletakkan harapan yang tinggi di bahu beliau.

"Namun pelbagai kontroversi remeh yang timbul sedikit sebanyak memberi impak kepada penyokong. Penyokong mahukan semuanya lancar seperti yang dikatakan," jelasnya.

Stadium, jersi dan penampilan

Tiga perkara kata Mahizi, mewujudkan rasa kurang senang di kalangan penyokong susulan pendekatan jutawan kosmetik terhadap pasukan itu.

Dalam isu stadium menurutnya, Hasmiza telah melakukan penambahbaikan yang amat ketara tetapi dalam sejarah pasukan Kelantan belum ada yang berani mengubah warna pasukan.

"Ini berlaku sedikit ketidakpuasan hati sesetengah penyokong sehingga menjadi perdebatan di laman sosial dan dijadikan bahan lawak penyokong pasukan lain. Sedikit sebanyak mencabar maruah anak Kelantan.

"Jersi yang dikeluarkan gagal menambat hati penyokong setia biar pun dikeluarkan dalam tiga versi harga yang berbeza. Mungkin citarasa peminat sekarang berbeza dan fobia dengan kualiti jersi sebelum ini," katanya.

Selain itu tambahnya, isu ketiga melibatkan penampilan Hasmiza sendiri yang kini dilihat semakin 'menjauh' daripada pasukan itu.

"Sejak akhir ini beliau kurang muncul di stadium, tidak seperti awal musim di mana beliau sering dilabel sebagai ikon bola sepak Kelantan. Ia membuatkan pelbagai tanggapan negatif muncul," katanya.

Lihat Komen
ADS