Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
Penyokong Kedah 'berjuang' demi tiket separuh akhir
Diterbitkan:  Sep 30, 2016 3:40 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Inilah antara 'perjuangan' buat penyokong tegar bola sepak yang sanggup merempuh cabaran tersendiri demi memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Ribuan penyokong bola sepak Kedah menunggu sejak awal malam tadi semata-mata untuk membeli tiket perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara pasukan Kedah dan PDRM, malam ini.

Difahamkan, sebahagian penyokong juga sanggup tidur di kawasan kaunter jualan tiket Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk menunggu penjualan yang bermula jam 9.00 pagi tadi.

Tinjauan Malaysiakini melalui Facebook penyokong skuad Helang Merah itu mendapati, ada segelintir penyokong yang mendirikan khemah mudah alih di pekarangan stadium.

Selain itu, mereka juga mula beratur panjang kerana bimbang gagal mendapatkan tiket perlawanan tersebut.

Facebook Arena HijauKuning hari ini juga memuat naik video dan gambar suasana yang berlaku di stadium sepanjang penjualan tiket berlangsung.

Aksi memanjat pagar kaunter, berasak-asak dan terdapat juga penyokong yang pengsan ketika beratur dapat dilihat sepanjang proses untuk mendapatkan tiket.

Sementara itu, Facebook persatuan Bola Sepak Kedah juga melaporkan, kehangatan kempen Road to Final bermula seawal jam 10 malam, malam tadi dengan kehadiran penyokong.

Sebanyak 16,500 keping tiket dilaporkan habis dijual melalui jualan kaunter dan selebihnya melalui online dan dijangka lebih 25,000 penyokong akan membanjiri Stadium Darul Aman, malam ini.

Skuad kedah di bawah bimbingan jurulatih Tan Cheng Hoe layak ke saingan separuh akhir selepas mengenepikan pasukan Negeri Sembilan dengan agregat 5-0 pada aksi suku akhir sebelum ini.

Pencapaian Helang Merah itu adalah bagi dua musim berturut-turut untuk mereka berada di peringkat separuh akhir dan musim lepas mereka menamatkan saingan Piala Malaysia selaku naib juara.

Lihat Komen
ADS