Kunjungan skuad bola sepak kebangsaan ke negara jiran berkesudahan dengan keputusan seri 0-0 pada aksi persahabatan antarabangsa menentang skuad Singapura, sebentar tadi.

Aksi di Stadium Nasional, Jalan Besar itu sekurang-kurangnya tidak memberi rekod buruk kepada reputasi skuad negara walaupun dicabaran hebat pasukan tuan rumah.

Skuad The Lions dilihat tampil menguasai permainan di depan ribuan penyokong sendiri, namun Harimau Malaysia tetap mampu menyaingi setiap gerak bahaya mereka.

Nafas lega pastinya dihela jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee dengan keputusan malam ini.

Aksi 45 pertama percaturan anak buah Kim Swee dilihat begitu longgar di posisi tengah dan serangan.

Kurang idea-idea menarik ditampilkan dalam menyusun strategi menyerang. Jelas wujudnya 'krisis taktikal' berbanding penguasaan dominan pasukan lawan.

Ia sekali gus memberi tekanan kepada benteng pertahanan negara yang begitu teruji dengan asakan skuad Kota Singa itu.

Kelemahan Harimau Malaysia nampak ketara di bahagian pertahanan susulan penerimaan bola yang bertali arus cuba membolosi gawang Khairul Azhan Khalid.

Namun, kombinasi Khairul Helmi Johari, Rizal Ghazali, Shahrul Saad dan Nazirul Naim berjaya mengatasi setiap serangan lawan.

Di barisan hadapan, Kim Swee meletakkan Hazwan Bakri dibantu Amri Yahyah, Irfan Fazail, Arif Nasrulhaq dan Safawi Rasid dilihat tidak banyak peluang yang berhasil dicipta di babak masa pertama.

Pertarungan separuh masa kedua, skuad negara semakin mengimbangi permainan walaupun penguasaan tetap berpihak kepada anak buah V Sundramoorthy.

Singapura memperlihatkan kejelasan taktikal permainan mereka dengan mengatur serangan di hampir setiap posisi dengan hantaran bola lebih bervariasi.

Bagaimanapun, usaha mereka berjaya disekat barisan pemain Malaysia yang semakin menunjukkan semangat juang tinggi menjelang penghujung perlawanan.

Kemasukan Shahrom Abdul Kalam dan Abdul Latif Suhaimi di posisi pertahanan menambahkan lagi keyakinan Harimau Malaysia mempertahankan gawang daripada dibolosi.