Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2016 hari ini diraikan serentak di seluruh negara termasuk di kawasan kampung dan daerah, melibatkan sejumlah 22,500 aktiviti.

Sekretariat HSN 2016 menyasarkan seramai tujuh juta orang iaitu 20 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia akan menyertai program-program yang telah diatur di seluruh negara berbanding 4.2 juta orang tahun lepas, iaitu tahun pertama sambutan HSN diadakan.

Bermula tahun lepas, setiap Sabtu kedua bulan Oktober telah dijadikan sebagai Hari Sukan Negara dengan matlamat untuk mewujudkan budaya sukan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Untuk tahun ini, sambutan utama yang berlangsung di Putrajaya sahaja membabitkan penyertaan kira-kira 30,000 orang yang mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama ribuan rakyat Malaysia turut menyertai acara bersenam ketika merasmikan HSN 2016 di Presint 2.

Najib dalam ucapannya menyarankan agar rakyat Malaysia menjadikan sukan satu budaya ke arah gaya hidup sihat dan wadah penyatuan untuk meningkatkan semangat patriotisme kepada negara.

Najib kemudiannya mengayuh basikal ke Dataran Putrajaya berhadapan Istana Kehakiman untuk menyertai program kecergasan Kementerian Pendidikan dan berjalan kaki untuk program Jalan Ria 1Murid 1Sukan sejauh 4.5km.

Turut berlangsung di Putrajaya, Kementerian Luar mengadakan aktiviti seperti acara senam robik, berbasikal dan berjalan kaki di perkarangan kawasan Wisma Putra yang disertai 500 warga kementerian itu serta diplomat asing dari 26 negara.

Antara yang hadir ialah Duta Emiriah Arab Bersatu ke Malaysia Abdulla Matar Al Mazrouei, Samkelisiwe Mhlanga (Afrika Selatan), Saad Abdullah Saleh Al-Asousi (Kuwait) dan Anne Namakau Mutelo (Namibia).

Warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bergabung melakukan senam robik mega di Presint 4.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta agensi dan jabatan yang beroperasi di Kompleks C Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan pula mengadakan program 'Family Fun Walk' di persekitaran kompleks berkenaan manakala Kementerian Kesihatan pula menganjurkan program 'sihat cergas' di kawasan Kompleks E.

Seramai 1,500 warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan agensi di bawahnya pula bersukan di Taman Tasik Cyberjaya yang diketuai menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin melibatkan aktiviti berjalan kaki mengelilingi tasik berkenaan sejauh tiga kilometer.